Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Ejen kepada calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai membuat laporan polis selepas mengesan video berbaur fitnah terhadap David Marshel.

L. Yoganathan, 28, berkata, dia mengesan lima siri rakaman video berdurasi 15 minit yang dimuat naik seorang lelaki dikenali menerusi TikTok Bersih2023 ketika berada di pusat operasi calon semalam.

“Berdasarkan video tersebut lelaki berkenaan mendakwa calon bebas kerusi Perai mempunyai hubungan sulit dengan Perikatan Nasional (PN) dan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) susulan mempunyai agenda kepentingan diri sendiri.

“Dia juga mendakwa David Marshel mempunyai pegangan saham dalam beberapa restoran nasi kandar, memiliki kedai tuak selain terlibat dalam kegiatan dadah serta mengutip wang pakir haram di sekitar Perai.

“Secara kesimpulan semua dakwaan dalam video itu dipercayai untuk menjatuhkan reputasi David Marshel selaku calon bebas,” katanya sambil menambah beliau membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Mertajam semalam.

Tambah Yoganathan, dia membuat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atas individu yang memfitnah dan memuat naik video itu kerana tindakannya mendedahkan maklumat peribadi David Marshel mengundang ancaman terhadap beliau.

“Selain itu, laporan ini juga dibuat bagi membolehkan sekatan dibuat ke atas individu berkenalan yang mengganggu kempen PRN15 David Marshel dengan menaburkan fitnah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan dalam satu kenyataan berkata, sebanyak lapan laporan polis diterima berhubung PRN di Pulau Pinang setakat semalam.

Ia termasuk laporan dibuat ejen calon bebas berkenaan yang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Bagi Pulau Pinang untuk semalam saja kita terima empat laporan, tiga membabitkan khianat bendera parti, rosakkan billboard serta bahan kempen manakala satu lagi laporan berhubung fitnah.

“Kes khianat itu dilaporkan berlaku di kawasan Bukit Tengah, Kubang Semang dan Seberang Jaya. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau memaklumkan sebanyak 78 permit ceramah dikeluarkan di Pulau Pinang sejak 27 Julai hingga semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast