KUALA LUMPUR – Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) khas untuk wanita iaitu Jelita merupakan peluang terbaik untuk kaum berkenaan menceburkan diri dalam pasaran guna tenaga.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, program berkenaan merupakan inisiatif penting dalam usaha memperkasa golongan wanita khususnya dalam pendidikan kemahiran yang dapat meningkatkan kesejahteraan hidup.
“Usaha yang diperkenalkan ini sangat mustahak kerana wanita seringkali berhadapan dengan cabaran ekonomi dan sosial yang unik antaranya diskriminasi gender, perbezaan gaji dan kesukaran untuk memasuki bidang pekerjaan yang didominasi oleh kaum lelaki.
“Antaranya diskrimasi gender dan dan pekerjaan yang didominasi lelaki,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Jelita.
Turut hadir Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Noraini Ahmad dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Pada awalnya, program yang diterajui oleh Risda itu mensasarkan penyertaan 15,000 peserta.
Bagaimanapun Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap jumlah penyertaan akan mencecah sehingga 150,000 peserta menjelang 2026.
Program berkenaan memberi tumpuan kepada enam kumpulan sasaran wanita untuk memperkasakan ekonomi kaum berkenaan melalui pengembangan bakat, kemahiran, keterampilan dan pengetahuan.
Dalam pada itu, Zahid berharap agar Program Jelita akan dilaksanakan secara sistematik dan tersusun sekaligus melahirkan peserta wanita yang berdaya saing.
“Saya benar-benar harapkan program ini ini bukan indah khabar dari rupa, bukan hanya melepaskan batuk di tangga tapi disusun dengan penuh penelitian merangkumi pelbagai kursus latihan yang relevan dengan pasaran termasuk keperluan industri. Program ini juga perlu fokus kepada daya tahan kelestarian dan keusahawanan,” tambah beliau.
Sebagai rekod, Program Jelita bakal menawarkan 10 bidang kemahiran dan pensijilan yang lebih tinggi dan luas.
Selain 74 rakan strategik, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dipertanggungjawabkan sebagai penyelia latihan dan fasilitator untuk menyediakan tenaga mahir yang berkualiti dalam kalangan wanita.-MalaysiaGazette