Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Penyelesaian kes melibatkan mana-mana individu termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi harus berdasarkan prinsip peraturan perundangan yang ketat.

Sebagai contoh konsep prima facie dan keputusan mahkamah, prinsip itu menekankan  terdapat cukup bukti awal untuk menyokong tuduhan.

Bagaimanapun, Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata,  keputusan akhir harus berada di tangan mahkamah yang adil adil dan bebas daripada campur tangan politik.

“Mahkamah harus menilai dengan objektif dan bertindak sebagai penjaga keadilan, berdasarkan hujah serta bukti yang diserahkan dalam mahkamah.

“Begitu juga tidak ada campur tangan politik, prinsip ini bagi memastikan kuasa eksekutif termasuk peguam negara (AG) berfungsi secara adil dalam proses kes dan keputusan harus berdasarkan hukum sedia ada, bukan atas kebijaksanaan individu atau pihak politik.

“Ini penting untuk memastikan integriti dan keadilan sistem kehakiman serta tiada seorang pun boleh melebihi undang-undang,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Shahrulufti Sharif

Baru-baru ini, media melaporkan Ahmad Zahid telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengandungi fakta dan bukti baharu dalam usaha menggugurkan 47 pertuduhan yang dihadapinya.

Peguam Hamidi Mohd. Noh memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, representasi melebihi 200 muka surat yang dihantar terus kepada peguam negara mengandungi asas untuk pertimbangan agar pertuduhan dihadapi timbalan perdana menteri itu digugurkan.

Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon penangguhan terhadap 16 tarikh perbicaraan yang telah dijadualkan sebelum ini sementara menunggu peguam negara memberi maklum balas terhadap representasi tersebut.

Menurut Shahrulufti, peraturan perundangan menetapkan semua orang termasuk pemegang jabatan tertinggi harus patuh pada undang-undang yang sama.

Ujar beliau, tindakan dan keputusan perlu berlandaskan undang-undang yang berlaku tanpa memberikan kelebihan kepada individu atau pihak politik kerana ini adalah asas penting menjaga keadilan dan integriti dalam sistem kehakiman.

Begitu juga tanggungjawab peguam negara, katanya, perlu memainkan peranan penting dalam menilai representasi dan bukti dikemukakan dalam kes serta memastikan keadilan dalam setiap keputusan yang dibuat.

“Keselamatan, ketelusan dan integriti sistem perundangan adalah faktor penting perlu diperhatikan dalam menangani isu.

“Dengan mengamalkan prinsip rule of law, diharapkan Malaysia dihormati dunia dan rakyat tidak gelisah dan keluh resah dengan perjalanan keadilan sama rata pada semua masyarakat.

Rule of Law tidak dijadikan retorik semata-mata. Keadilan mesti dilaksanakan demi erti keadilan dengan adil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast