Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor dinasihatkan agar tidak terus menunding jari kepada pihak lain berhubung perlombongan haram unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di negeri itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan Sanusi mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa seorang lelaki Indonesia meninjau tapak lombong REE hanya mahu mengalih tumpuan sebenar.

Nik Nazmi berkata, Sanusi sehingga kini masih belum menjawab segala dakwaan yang dilontarkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Datuk Seri Saifuddin telah mendedahkan bukti terbaharu dengan menunjukkan gambar Datuk Seri Sanusi bersama seorang warga China yang dikaitkan dengan kegiatan kecurian REE.

“Persoalan utama ialah mengapa Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah membayar saman berhubung isu kecurian REE jika benar pihak MBI dan juga menteri besar tidak mempunyai maklumat tentang isu ini?

“Umum mengetahui tanah yang terlibat dalam kes ini merupakan tanah milik MBI Kedah,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Nik Nazmi, syarikat yang melakukan perlombongan haram telah dikenakan kompaun dua kali iaitu sebanyak RM130,000 dan RM500,000.

Sementara itu, Nik Nazmi turut mengesahkan, untuk memasuki kawasan pembangunan Ladang Hutan di Kompartmen 12, Hutan Simpan Bukit Enggang yang mempunyai simpanan REE perlu melalui empat pagar keselamatan.

Pagar pertama adalah melalui tanah milik MBI bagi projek ladang solar dan pagar dibina oleh MBI kerana ia melalui tanah milik syarikat itu..

Pihak syarikat yang diberi kelulusan pembangunan ladang hutan juga telah membina tiga lagi pagar keselamatan di jalan masuk ke dalam ladang solar.

Pembinaan pagar tersebut dibina sebelum berlakunya aktiviti perlombongan haram di kawasan tersebut.

“Namun begitu, selepas Jabatan Perhutanan Negeri Kedah mengesan berlakunya aktiviti perlombongan haram kali kedua pada awal tahun 2023, semua mangga di ketiga-tiga pagar masuk ini telah ditukar.

“Dan anak kunci kini disimpan oleh kakitangan jabatan untuk mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab meneruskan aktiviti haram mereka,” kata Nik Nazmi.-MalaysiaGazette