BUTTERWORTH – Pekerja ladang yang melarikan diri selepas membakar isterinya sehingga parah di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor pada Isnin lalu ditahan polis.
Suspek berusia 36 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Bukit Panchor, Nibong Tebal kira-kira jam 1 tengah hari tadi.
Difahamkan suspek menyembunyikan diri di rumah abangnya selepas menyedari diburu polis susulan membakar isterinya menggunakan petrol.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie mengesahkan tangkapan tersebut.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok pagi untuk mendapatkan perintah reman,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan, seorang lelaki bertindak membakar isterinya dalam kejadian di kawasan perumahan ladang kelapa sawit di Tasek Gelugor hanya kerana perselisihan faham membabitkan keluarga.
Kejadian jam 9.30 malam mengakibatkan mangsa berusia 35 tahun itu melecur 27 peratus pada anggota badan.
Mangsa kini dilaporkan berada keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette
tiada tamadun manusia jenis ni