ALOR SETAR – Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas Khairul Anuar Ramli menjelaskan video ‘menolak warga emas’ yang tular baru-baru ini merupakan kejadian tiga tahun lalu.
Beliau yang tidak akan berkompromi dalam perkara itu, enggan memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk meminta maaf.
Khairul Anuar berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menyaman individu dan media dan akan menuntut RM10 juta daripada setiap daripada mereka.
“Saya geli hati dengan tajuk yang dinyatakan iaitu ‘calon PN DUN Lunas telah bertindak menolak warga emas’. (Ini) juga cubaan merosakkan reputasi saya, sedangkan individu yang ditolak itu hanya empat tahun lebih tua daripada saya.
“Saya akan mendakwa beberapa media yang melaporkan bahawa kejadian itu berlaku semasa kempen PRU ke-15.
“Ia mengelirukan masyarakat dan orang awam. Kejadian itu berlaku tiga tahun lalu.
“Saya akan teruskan dengan dakwaan itu. Amat keterlaluan, mereka menyerang peribadi saya, jatuh maruah keluarga saya, Bersatu dan juga maruah penyokong PN,” katanya dalam sidang media semalam.
Video itu dimuatnaik Setiausaha AMK, Omar Mokhtar.
Kejadian itu didakwa berlaku di sebuah bilik gerakan calon PN di kerusi DUN Lunas.
Dalam video berdurasi tujuh saat itu, individu ynag didakwa Khairul Anuar didapati menolak warga emas berbaju-T berwarna merah.
Dalam ciapan itu, Omar bertanyakan kepada netizen sama ada individu berkenaan adalah calon PN Lunas.
“Ada sesiapa boleh sahkan? Betul ke ini calon PN Lunas?
“Takkan la individu yang tolak rakyat yang susah minta bantuan, PN boleh ambil buat calon. Tergamak buat rakyat macam tu?, kata Omar.
Tambah Khairul Anuar, video asal itu sebenarnya lapan minit tetapi yang ditularkan hanya 19 saat, jadi ia tidak menceritakan kejadian sebenar.
“Kalau nak viral boleh tetapi buat sepenuhnya supaya rakyat dapat nilai. Dia datang minta bantuan, tapi dia mengeluarkan kata-kata kesat kepada isteri saya, maki hamun isteri saya sejak awal lagi.
“Dia masuk ke pejabat saya di Lunas untuk merampas barang bantaun yang ada. Cara dia maşuk juga, dengan memakai kasut,” jelasnya sambil menambah lelaki dalam klip video tersebut telah membuat laporan polis.
Jelas Khairul Anuar, beliau kemudian didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
Tetapi pada 28 Mac lalu mahkamah telah membebaskannya daripada tuduhan tersebut, ujarnya. – MalaysiaGazette