SEREMBAN – Program Wanita Question Time anjuran Wanita PKR bukan sahaja semata-semata sempena kempen enam pilihan raya negeri (PRN) sahaja.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Nurul Izzah Anwar berkata, program tersebut merupakan acara yang memberi tumpuan kepada wanita di seluruh negara.
Menurut beliau, yang lebih penting, Wanita Question Time mahu menempatkan semua wanita dalam ekosistem yang mereka rasa selesa untuk berbincang dan menyoal pimpinan masing-masing.
“Lebih-lebih lagi kita mahu mempromosikan juga beberapa butiran tawaran bagi wanita yang terkandung dalam belanjawan dan ekonomi Madani,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wanita Question Time di sini, malam ini.
Nurul Izzah dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merupakan panelis dalam program tersebut.
Beliau menambah, program tersebut juga bertujuan menjadikan wanita lebih cakna tentang kuasa yang mereka miliki dalam menentukan masa depan politik negara.
Nurul Izzah memberitahu, dalam masa terdekat, program seterusnya akan dianjurkan di lima negeri lain yang terlibat dalam PRN.
“Antara panelis lain yang bakal diketengahkan ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa,” jelasnya. – MalaysiaGazette