KLANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menikmati juadah tengah hari bersama penduduk setempat di Restoran Jr Raden, Kampung Bukit Kapar hari ini.
Ketibaannya pukul 12.35 tengah hari itu disambut orang ramai dengan dihidangkan sajian nasi ayam penyet di restoran berkenaan.
Kunjungan singkat selama 20 minit oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut diiringi calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Erni Afrishah Azizi.
Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon PKR itu dan calon Perikatan Nasional (PN) dari Pas, Noor Najhan Mohamad Salleh.
Anwar kemudian menunaikan solat Jumaat bersama lebih 1,000 jemaah di Masjid Al Falah, Kampung Idaman.
Sebelum beredar, beliau sempat menyantuni para jemaah dengan ditemani calon PH DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.
Armizam yang juga penyandang DUN berkenaan akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon PN, Wan Hasrina Wan Hassan dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Ahmad Putra Syed Isa. – MalaysiaGazette