SIK – Helikopter yang dinaiki oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir ke Karnival Segalanya Felda di sini adalah milik kerajaan.
Anwar mengakui perkara itu ketika berucap pada program yang berlangsung di Padang Awam, Felda Teloi Timur hari ini.
“Anwar naik helikopter? Ya aku naik tetapi helikopter VIP milik kerajaan, hang tau dak.
“Hangpa sakit hati fasal apa kerajaan punya bukan hang punya tetapi hang tak boleh pakai, perdana menteri sahaja boleh pakai,” katanya.
Sebelum ini, helikopter yang pernah dinaiki oleh Anwar ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menjadi isu di media sosial.
Namun ada yang mendakwa, helikopter itu dimiliki seorang jutawan berasal dari Sungai Petani, Kedah.
Jutawan tersebut yang juga pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS), Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim didakwa telah meminjamkan salah satu helikopternya bagi memudahkan urusan Anwar untuk berkempen ke pelosok negara ketika itu.
Sementara itu, Anwar memberi jaminan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan kekal berada di bawah perdana menteri selagi masalah-masalah asas yang membelenggu kumpulan peneroka serta penduduk di tanah rancangan tersebut tidak diselesaikan sepenuhnya oleh kerajaan.
Selepas itu, penyerahan Felda akan dilakukan kepada menteri yang sepatutnya bagi terus mengangkat martabat Felda dan para pesertanya.
“Saya nak rayu semua, Felda ini kubu, Felda ini mempunyai sejarah tersendiri. Felda ini jasa (bekas perdana menteri) Allahyarham Tun Abd. Razak Hussein dan saya setakat ini sebagai perdana menteri, Felda di bawah saya.
“Orang tanya pasai apa tak bagi kepada orang (menteri) lain. Tak, saya tau masalah Felda, saya nak selesai perkara-perkara pokok Felda, kalau bila nampak boleh selesai baru saya nak serah kepada menteri lain jaga,” katanya.
Akhir Jun lalu, Anwar menandatangani dokumen pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion selain mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.7 juta setahun bagi menanggung kos operasi lampu jalan di kawasan Felda.
Kerajaan juga akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya yang dijangka dapat memberi manfaat dan meringankan beban hampir 2,000 pesakit di kawasan rancangan itu. – MalaysiaGazette