Calon Pakatan Harapan (PH) N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri

KLANG – Masalah infrastruktur jalan raya di Pelabuhan Klang yang sinonim dengan jalan berlubang, tidak rata dan sempit akan diselesaikan segera.

Calon Pakatan Harapan (PH), Azmizam Zaman Huri bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu berkata, beliau sudah merangka penyelesaian bagi masalah tersebut.

“Saya tiada manifesto yang khusus tapi sudah tentu isu utama yang perlu diselesaikan segera di DUN Pelabuhan Klang ini ialah infrastruktur jalan raya dan sistem saliran.

“Memang isu ini sukar diselesaikan kerana pertambahan kenderaan berat akibat perkembangan pesat ekonomi di sini tapi perkara itu telah saya beri perhatian lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Masjid Al-Falah di sini hari ini selepas mengiringi kepulangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menunaikan solat Jumaat di masjid sama.

Mengulas lanjut, Azmizam yang juga penyandang DUN berkenaan turut yakin masalah kesesakan lalu lintas di Jalan Telok Gong dapat diselesaikan segera.

“Saya dimaklumkan pihak Jabatan Kerja Raya Selangor telah meluluskan kelebaran dan naik taraf jalan B148 Telok Gong sepanjang enam kilometer bermula dari persimpangan Glenmarie Cove sehingga ke Jalan Ikan Tenggiri.

“Isu ini juga jadi perhatian utama saya sejak dari dulu apabila aliran trafik keluar masuk di situ semakin teruk, saya yakin ia akan selesai tidak lama lagi,” ujarnya.

Tambahnya, masalah itu terus berlarutan kerana kawasan berkenaan menjadi tumpuan bagi sektor perkilangan dijalankan.

Jelas beliau, kerja-kerja naik taraf itu akan dijalankan hujung tahun ini dengan peruntukan kos RM198 juta untuk menjadikan laluan asal daripada dua lorong kepada empat lorong.

Sehubungan itu, Azmizam berharap pengundi N.46 memberikan beliau sekali lagi peluang untuk berbakti agar manifesto utamanya itu dapat direalisasikan.

Beliau akan berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Perikatan Nasional, Wan Hasrina Wan Hassan dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Ahmad Putra Syed Isa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast