orang asli
Liputan jalur lebar merupakan antara permintaan yang disuarakan masyarakat Orang Asli dalam program Ziarah Kasih calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Muhammad Sufian Maradzi di Kampung Ulu Mampas, Terachi, Kuala Pilah pada 30 Julai lalu.

SETIAP kali tiba musim pilihan raya, kawasan perkampungan Orang Asli sering menjadi tumpuan calon-calon dan parti-parti yang bertanding bagi memancing undi.

Maka, berduyun-duyunlah calon dan rombongannya tiba dengan menaburkan pelbagai janji manis kepada masyarakat orang Asli seperti yang dapat dilihat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang berlangsung ketika ini.

Memang tidak salah berjanji. Cuma yang kurang moleknya, masih ada janji-janji yang dibuat pada kempen-kempen pilihan raya terdahulu belum dipenuhi.

Contohnya, penyediaan infrastruktur seperti air, rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sistem perparitan dan bekalan air bersih.

Masyarakat Orang Asli kini lebih berani bersuara untuk meluahkan kekesalan mereka apabila calon-calon yang mereka pilih tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi selepas menjadi wakil rakyat.

Malah, ada tok batin yang secara terbuka menempelak sikap segelitir pegawai dan kakitangan di pusat khidmat wakil rakyat yang dikatakan tidak melayan mereka dengan baik.

Isu-isu seperti ini perlu diberi perhatian yang serius oleh calon-calon di kawasan yang mempunyai perkampungan Orang Asli agar tidak berulang lagi insiden ‘habis madu, sepah dibuang’.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor ketika menghadiri program Sehati Sejiwa bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Panchor, Jempol semalam telah mengingatkan calon-calon supaya jangan melupakan janji-janji mereka setelah menang kelak.

Sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands dan tokoh politik Orang Asli, sudah tentu beliau amat memahami keluh-kesah kelompok masyarakat tersebut.

Permintaan yang dibangkitkan oleh masyarakat Orang Asli juga semakin canggih, selaras dengan perkembangan teknologi khususnya dari segi pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT).

Sebahagian daripada mereka mengusahakan perniagaan secara dalam talian namun kegiatan mereka terbatas kerana liputan jalur lebar masih belum tiba di kampung mereka.

Malah, ada kampung Orang Asli di sekitar Kuala Pilah yang masih berada di luar jangkauan talian mudah alih walaupun lokasinya tidak jauh dari jalan besar.

Selain pembangunan infrastruktur, bakal-bakal wakil rakyat perlu memberi perhatian yang serius terhadap usaha menangani keciciran anak-anak orang Asli dalam pendidikan peringkat menengah dan tinggi.

Mereka yang dipilih sebagai wakil rakyat hendaklah memberi komitmen yang tinggi terhadap usaha tersebut agar lebih ramai generasi muda Orang Asli menerima pendidikan tertinggi sekali gus dapat membantu untuk mengeluarkan masyarakat mereka daripada kepompong kemiskinan.

Apa yang lebih penting, wakil rakyat dan parti politik sepatutnya menyantuni masyarakat Orang Asli dengan lebih kerap di luar musim kempen pilihan raya.

Lihatlah mereka sebagai golongan yang perlu dibantu dan dibimbing agar mampu berdiri sama tinggi dengan kumpulan etnik yang lain, bukannya sekadar ‘angka’ yang berpotensi menyumbang kepada jumlah undi yang akan diraih calon. – MalaysiaGazette