Mohd Khairuddin Aman Razali masjid terengganu kematian jamaah Islam Khairuddin Aman Razali MN Nurul Izzah adu domba penasihat kerajaan
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pas yang berada di lokasi semasa Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dihalau daripada ceramah parti berkenaan di Pulau Pinang sepatutnya tidak berlaku.

Malangnya, Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali kesal kerana tidak ada pemimpin Pas yang membantu pemimpin rakan gabungan politik parti itu pada ketika kejadian.

“Menariknya, kemungkaran akhlak ini berlaku di hadapan mata Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan Naib Presiden (Datuk Idris Ahamad) sendiri namun ia tidak dicegah terus oleh kedua-dua pimpinan tertinggi Pas.

“Insiden itu pula melibatkan rakan gabungan politik Perikatan Nasional dan melibatkan pimpinan paling tinggi parti iaitu Presiden parti rakan kerjasama politik sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Khairuddin, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengambil masa beberapa hari untuk mengeluarkan kenyataan meminta maaf kepada Dominic serta menegur pimpinan partinya di Pulau Pinang.

“Tidakkah itu kelemahan dalam mencegah kemungkaran?” soalnya.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, selaku parti Islam, Pas sepatutnya memberi contoh akhlak dan adab yang baik.

“Islam akan dipandang tidak berakhlak dan tidak beradab dalam menerima tetamu apatah lagi tetamu tidak diundang itu adalah rakan kerjasama politik kerana kemungkaran akhlak dilakukan oleh parti yang membawa jenama parti Islam sedangkan Islam tidak diwakili oleh mana-mana parti pun.

“Inilah bahayanya apabila parti politik dijenamakan dengan Islam tetapi gagal mempamerkan akhlak Islam.

“Pamerkan politik dan akhlak Islam dalam berpolitik apatah lagi apabila membawa nama Islam agar Islam tidak terfitnah,” ujar bekas ahli Pas itu lagi.

Baru-baru ini sewaktu Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor Dominic tidak dibenarkan sepentas dengan pemimpin lain Pas yang hadir.

Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim dikatakan individu bertanggungjawab menghalang pemimpin Gerakan itu naik ke pentas.

Dilaporkan, tindakan dibuat kerana Dominic tidak diundang untuk menghadiri program berkenaan dan kehadirannya sekadar mahu berjumpa dengan Abdul Hadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast