Calon PN DUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim

NIBONG TEBAL – Calon Perikatan Nasional dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Zulkifli Ibrahim yakin dapat  mempertahankan semula kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh sehingga hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang kali ini.

Namun penyandang kerusi yang dimenanginya di bawah tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-15 sejak 2018 ini berkata, beliau tidak mahu berada dalam zon selesa yang akan menyebabkan rasa cuai bekerja keras kali ini.

Oleh itu, anak jati Nibong Tebal beliau masih turun padang mendekatkan diri dengan pengundi sebagai status penyandang DUN Sungai Acheh menyebabkan penduduk lebih mesra dan akrab dengan sepanjang tempoh berkempen selama tujuh hari ini.

Beliau berkata, pembentukan gabungan Perpaduan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) pada PRN kali ini membuka peluang cerah untuk beliau mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua kali ini.

“Peluang itu ada kerana tidak semua ahli UMNO bersetuju dengan gabungan Perpaduan PH BN ini dan walaupun calon atau parti itu berkempen bahawa DAP sekarang tak seperti DAP dulu, bagi saya DAP masih tidak berubah yang mana Lim Kit Siang, Lim Guan Eng masih ada dalam parti itu dan ia tetap parti yang memusuhi UMNO.

“Malah, saya rasa ahli-ahli UMNO juga sedar tentang perkara terbaharu ini terutamanya ahli-ahli UMNO yang bertahun lama setia dengan parti itu bukan senang untuk dipujuk (terima kerjasama DAP-UMNO).

“Pagi tadi, saya telah berjumpa orang lama di kampung, ahli umno itu sendiri datang terus bersalam dengan saya dan terus cakap YB (Zul) jangan risau, hang akan menang! itu respons depa.

“Apabila saya tanya kenapa (tukar),mereka mengakui tidak boleh terima kerjasama DAP, yang boleh terima DAP itu dalam UMNO adalah orang level tinggi, yang di akar umbi ini lebih 50 peratus tidak setuju walaupun macam-macam alasan diberikan oleh kepimpinan tertinggi UMNO untuk mewajarkannya (kerajaan Perpaduan)..bagi saya itu kelebihan untuk PN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama MalaysiaGazette di bilik operasi PN di Sungai Acheh di sini hari ini.

Malah, tambah calon PN itu lagi, kerjasama PH-UMNO juga memudahkannya mengakses dan menyantuni pengundi di kampung yang merupakan kubu kuat UMNO.

“Dulu kalau saya nak masuk bertegur dengan penduduk kampung di sini memang sukar kerana semuanya orang kuat UMNO tetapi dengan gabungan UMNO-DAP kali ini,  saya rasa kelebihan saya rasa tak perlu kempen lebih-lebih dan tidak perlu memesan masyarakat jangan undi BN.

“Saya cakap berterus terang di sini, apabila saya pergi berkempen dan menziarah orang kampung dalam program kemasyarakatan anjuran penduduk sendiri, saya tak pernah berucap kecuali kempen ceramah politik.

“Apatah lagi dua hari terakhir ini saya ada masuk berjumpa penduduk di kubu kuat UMNO, pada malam sama dua tiga individu BN mesej aku dan bercakap ‘tuan Zul semua swing (alih sokong), sebab saya pergi hanya santai tetapi calon UMNO berkempen politik dalam program komuniti kampung.

“Itulah strategi saya dengan menyantuni pengundi dan tidak berkempen bicara politik di majlis bersantai atau kenduri mereka,” ujarnya.

Tegasnya, selepas tujuh hari berkempen sejak 29 Julai lalu, beliau sudah menziarah dan menyantuni sebanyak 55 peratus pengundi di DUN Sungai Acheh.

Katanya, kempen beliau kebanyakan tertumpu kepada kawan atau lokasi tumpuan orang ramai khususnya anak-anak muda.

“Buat masa ini saya akan habis berkempen ke kawasan pengundi Melayu dahulu dan barulah akan beralih kepada kempen berjumpa dan menyantuni pengundi dalam kalangan masyarakat Cina dan India dan jadual program ke arah itu sedang diaturkan,” katanya.

Dalam pada itu dengan berbaki tujuh hari lagi untuk hari mengundi pada 12 Ogos ini, Zulkifli membawa pesanan penting kepada para pengundi di kawasannya untuk membuat keputusan bijaksana dengan memilih wakil rakyat yang sentiasa membela nasib mereka.

“Nilai saya dari segi kerja yang dilaksana selama lima tahun bukan nilai calon lawan dengan janji yang belum lagi dibuat.

“Sejak lima tahun lepas saya pikul amanah sebagai wakil rakyat di kawasan Sungai Acheh sudah terbukti perkara yang dilaksanakan dari segi pembangunan dan paling penting sekali adakah pengganti saya akan lakukan apa saya buat selama lima tahun lalu.

“Selepas menang 2018 (sebagai wakil PKR) apa jua peruntukan yang diterima DUN, tanpa tanya asal usul parti seseorang penerima itu, saya salurkan bantuan tanpa membezakan ideologi politik.

“Terbaharu kalau katakanlah saya menang peruntukan tidak akan diagihkan untuk saya kali ini dan ini menunjukkan mereka sendiri ada dendam politik tidak salur peruntukan kepada ADUNyang dilantik rakyat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast