RAWANG – Berdepan dengan pencabar sengit, calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, R. Rejean Kumar optimis menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau calon muda berusia 26 tahun yang telah dipertaruhkan untuk lawan penyandang kerusi DUN Rawang, Chua Wei Kiat dari parti PKR Pakatan Harapan (PH).
Bercakap dengan MalaysiaGazette, Rejean berkata, kehadirannya di Rawang sentiasa mendapat sokongan dan maklum balas positif dari pengundi di kawasan itu.
“Saya tahu penyandang ini lebih besar pengaruh lagi-lagi datang dari parti Perdana Menteri tetapi mandat ini diberikan oleh rakyat sebenarnya. Pengundi kini sudah bijak menilai, tidak boleh asyik retorik dan berjanji bulan bintang sepanjang masa.
“Saya memulakan kempen seawal pukul 7 pagi, setiap pengundi dan penduduk setempat yang saya jumpa semuanya berpesan kepada saya untuk bekerja lima tahun akan datang dan jangan hanya berjanji sahaja.
“Banyak perubahan diharapkan oleh pengundi tetapi sentiasa kecewa apabila ia tidak dibuat dan diberikan pelbagai alasan diberikan selepas menang. Masih banyak yang perlu dilakukan tapi tidak dilakukan.
“Kerana itu saya yakin akan adanya perubahan kerana pengundi tidak sentiasa diberi ‘gula-gula’. Parti juga telah meletakan amanah besar buat saya dan saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.
Rejean yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan serta minyak dan gas itu berkata, sejak awal kempen, calon pihak lawan berterusan menuduh PN menggunakan isu perkauman untuk menakutkan rakyat.
“Itu tidak betul, jika anda dengar ceramah mereka juga macam-macam tuduhan dilempar pada PN walhal kini mereka sudah mempunyai kerajaan negeri dan persekutuan. Cakaplah isu-isu berkaitan rakyat dan henti tuding jari sahaja.
“Mereka bukan berkuasa lapan bulan ini sahaja sebaliknya sudah pegang negeri Selangor lebih 15 tahun dan negeri-negeri lain juga seperti Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. Jangan asyik beria tuding jari untuk menang kempen, cerita tentang rekod prestasi anda dulu,” ujarnya.
Pada PRN lepas, kerusi DUN Rawang dimenangi oleh Chua Wei Kiat (PH-PKR) dengan pertandingan empat penjuru merebut kerusi di bawah Parlimen Selayang dengan majoriti undi sebanyak 23,860.
Wei Kiat mengalahkan Kong Tuck Wah daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) yang mendapat 6,086 undi selain calon bebas, Azman Mohd Noor yang mendapat 644 undi manakala Chan Wun Hoong daripada Barisan Nasional (BN) hanya meraih 222 undi. – MalaysiaGazette