TELUK KUMBAR – Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PENMutiara) akan terus membantah pelaksanaan projek tambak laut meskipun tiada pemimpin politik yang membantu mereka dalam menjayakan bantahan itu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang (PENMutiara), Zakaria Ismail berkata, ramai pemimpin politik daripada pelbagai parti menyatakan bantahan mereka berhubung projek tersebut ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun tiada perkhabaran baik diterima pihak mereka selepas PRU15.

“Tiada sebarang petunjuk kukuh ada pihak lain akan membantu kami dalam isu tambak laut ini dan bagi saya, nelayan sendiri kena berjuang sendiri tanpa mengharapkan sesiapa.

Zakaria.

“Kami akan pastikan bukan saja satu pulau, satu ketul batu pun tidak dimasukkan ke kawasan ini.

“Langkah mayat kami (nelayan) dulu jika ada pihak berkeras mahu teruskan projek tambak laut ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu PENMutiara mengadakan sidang media menuntut calon PRN15 Pulau Pinang memberi perhatian terhadap lima tuntutan mereka demi melindungi hak serta kesejahteraan 6,000 nelayan di negeri ini.

Hadir sama, Pengerusi PENMutiara, Ibrahim Che Ros dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Arshad Omar.

PENMutiara mengadakan sidang media di Unit Nelayan Sungai Batu, Teluk Kumbar hari ini.

Antara calon PRN15 yang menghadiri sidang media itu ialah Datuk Dominic Lau (PN, Bayan Lepas), masing-masing dari PRM, Abdul Ghani Haroon (Sungai Pinang) dan Ravinder Singh (Pantai Jerejak).

Sementara itu ketika ditanya sama ada komuniti nelayan kecewa calon dari Pakatan Harapan (PH) tidak hadir bagi mendengar tuntutan itu, Zakaria menegaskan tidak timbul soal kecewa susulan penyandang kerusi Bayan Lepas yang juga kini calon, Azrul Mahathir Aziz telah memaklumkan lebih awal tidak dapat hadir sidang media tersebut.

“Tak timbul soal kecewa kerana beliau (Azrul Mahathir) telah memaklumkan perlu menghadiri satu mesyuarat pada jam 10 pagi selain memohon maaf atas kekangan tersebut.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan beliau banyak membantu nelayan dan Insya-Allah kali ini kalau jika berjaya kekalkan kerusi beliau akan terus bekerjasama dengan nelayan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PENMutiara, Ibrahim Che Ros meminta calon PRN15 meneroka alternatif ekonomi mampan yang tidak mengorbankan alam sekitar sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Ibrahim.

“Nelayan mahu calon menggalakkan pertumbuhan ekonomi biru yang mampan sejajar dengan pemeliharaan lautan contohnya sektor ekopelancongan marin yang dapat merangsang ekonomi tempatan.

“Kita juga mahukan konservasi dan pemeliharaan laut untuk melestarikan dan memelihara sumber-sumber marin.

“Selain itu, kita mohon pengiktirafan kampung nelayan sebagai tapak warisan selain pelan induk strategik bagi ketahanan iklim di negeri ini,” katanya.

Pada 1 Ogos lalu, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah payung Kerajaan Perpaduan senaraikan projek Silicon Island dalam 16 tunjang manifesto mereka bagi PRN kali ini.

Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengecilkan skop projek tambak laut daripada tiga kepada hanya satu pulau iaitu melibatkan pengurangan 1,821 hektar (4,500 ekar) tambakan laut kepada hanya 930 hektar (2,300 ekar).

Projek itu kini dikenali sebagai Silicon Island yang akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun untuk kerja-kerja tambakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast