papan iklan
Salah satu papan iklan Mohammed Hafiz Baharuddin di Sikamat, Seremban yang tumbang dipercayai akibat perbuatan sabotaj.

SEREMBAN – Papan iklan calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Mohammed Hafiz Baharuddin didakwa telah disabotaj oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Wakil calon, Mohd Fadzil Kamaruddin berkata, kejadian mula dikesan pada 1 Ogos lalu dan didapati berulang kelmarin dan semalam.

Menurut beliau, papan iklan yang memaparkan gambar Mohammed Hafiz patah dan tumbang dipercayai akibat ditendang.

“Selain itu, ia juga dipijak kerana terdapat kesan tapak kasut pada poster calon,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas membuat laporan di Balai Polis Sikamat di sini, hari ini.

Sikamat
Mohd Fadzil Kamaruddin (kiri) menunjukkan laporan yang dibuat di luar pekarangan Balai Polis Sikamat, Seremban, hari ini.

Mohd Fadzil menambah, kejadian berlaku di beberapa lokasi dalam kawasan DUN Sikamat iaitu persimpangan Kampung Hujung Pasir, Taman Paroi Jaya, Taman Desa Kiara, Taman Coral Height dan Taman Megaway.

Beliau memberitahu, pada mulanya, pasukan logistik Mohammed Hafiz tidak mengambil kisah tentang kejadian itu namun kesal apabila ia masih berulang.

“Bila perkara itu berterusan nampak sangat ada unsur-unsur sabotaj berlaku.

“Kayu-kayu dipatahkan dan dipijak, sebab itu kami membuat laporan polis,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd Fadzil menyeru jentera semua calon yang bertanding agar berkempen secara matang dan sihat.

“Tidak perlu sabotaj, biar pengundi yang buat keputusan, siapa yang dia nak terpulang kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast