POKOK SENA – Perikatan Nasional (PN) perlu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kerana ia menjadi penentu untuk mengekalkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. untuk kali kedua.
Calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Derga, Muhammad Amri Wahab berharap pengundi akan membuat pilihan bijak menjadikan DUN itu sebagai satu kerusi yang dimenangi parti itu pada 12 Ogos nanti.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Pokok Sena, kemenangan di DUN Derga cukup penting bagi menjadi nilai tambah dalam membentuk kerajaan negeri baharu nanti.
“Salah satu kerusi yang perlu dimenangi PN adalah DUN Derga. Saya merayu kepada pengundi di Derga datang beramai-ramai dan keluar awal untuk menunaikan kewajipan sebagai orang pengundi
“Insya-Allah selepas 12 Ogos ini, kita sama-sama mendengar amanat daripada pimpinan negeri untuk Menteri Besar Kedah ditabalkan buat kali kedua,” katanya pada kempen di Flat Alor Malai kelmarin.
Kemenangan di Derga cukup penting bagi menjadi nilai tambah dalam membentuk kerajaan baru selepas 12 Ogos ini.DUN Derga antara kerusi yang menjadi persaingan sengit kerana PN perlu merampasnya daripada Pakatan Harapan (PH).
Malah Muhammad Amri berdepan tugas getir apabila berdepan tiga penjuru termasuk penyandang bukan Melayu, Tan Kok Yew yang dengan majoriti 5,265 undi.
Pada PRN nanti, beliau juga akan berdepan calon bebas, Man Basiron.
Mengulas lanjut, Muhammad Amri berkata, PN Kedah kini diserang bertubi-tubi walhal negeri lain juga sedang menghadapi pilihan raya.
“Kita telah bersedia menghadapai semua fitnah dan tohmahan dari mereka yang cemburu dengan kebangkitan gelombang hijau ini.
“Ayuh semua kita bangkit mencipta sejarah pada 12 Ogos ini. Tetaplah semangat mempertahankan kepimpinan kita demi kesejahteraan ummah,” katanya. – MalaysiaGazette