Rodziah Ismail

AMPANG – Bukan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memperkenalkan Skim Usia Emas, kata bekas Exco Selangor, Rodziah Ismail.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Ampang itu, skim berkenaan diperkenalkan pada era sebelum Mohamed Azmin menjadi Menteri Besar dengan cadangan daripadanya untuk membantu meringankan beban warga itu.

“Hei, Azmin Ali, kau lupalah, sebenarnya yang membuat Skim Usia Emas itu siapa? Sebelum kamu lagi.

“Saya masa itu Exco Kerajaan negeri, saya cadang kepada kerajaan, kepada menteri besar, kita kena bagi kepada warga emas untuk skim mereka kalau berlaku kematian, kita bagi sumbangan kepada mereka.

“Masa itu duit kita tak banyak, kita baru ada RM600, RM700 juta sahaja berbanding dengan sekarang, tiga kali ganda duit kita, tetapi Azmin lupa, dia kata itu adalah hasil kerja dia,” katanya dalam ceramah Jelajah Madani di DUN Lembah Jaya malam tadi.

Kata Rodziah, selepas itu, Mohamed Azmin bercerita berkaitan dengan Skim Hijrah Selangor dengan memperkenalkan mikro kredit kepada rakyat negeri itu.

Walhal, kata beliau, skim itu bermula tahun 2010 sedangkan Mohamed Azmin menjadi menteri besar pada 2014.

“Di zamannya, dia hanya jenamakan semula skim itu dengan dinamakan Hijrah. Banyak benda yang dia buat sekarang ini dia tinggalkan termasuk berpindah dari DUN (Dewan Undangan NegerI) Bukit Antarabangsa untuk bertanding di tempat lain.

“Selepas itu, dia mendabik dada nak jadi menteri besar semula. Sudahlah, kita tak akan beri peluang itu sekali lagi kepadanya,” katanya.

Mengenai dakwaan calon PH bagi DUN Lembah Jaya hanya seorang penyanyi berbanding calon PN adalah pendidik, Rodziah berkata, Altime ‘mendidik’ melalui lagu-lagunya.

Ujar beliau, penyanyi seperti Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet adalah lebih baik daripada pendidik kerana setiap lagunya memberi ‘didikan’ yang berguna kepada masyarakat.

Katanya, lirik lagu yang dibawa oleh Altimet begitu membina sekali yang memberi didikan melalui nyanyian.

“Altimet sudah jaga Lembah Jaya ini hampir satu tahun, dia dah faham dengan kawasan ini. Saya di Ampang tidak sampai lapan bulan pun sudah selesaikan banyak masalah penduduk di sini.

“Masalah banjir atau longkang dan sebagainya, selesai. Sebab itu saya nak minta tolong sangat kepada pengundi di Lembah Jaya, berilah peluang kepada calon PH ini agar kemenangannya selari dengan Kerajaan Persekutuan,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast