Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hairan Perikatan Nasional (PN) masih belum menamakan calon menteri besar pilihan mereka untuk Selangor.

Beliau yang diumum kekal menerajui Selangor jika gabungan PH-Barisan Nasional (BN) menang, mempertikai sikap Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membentang manfesto tetapi tidak menamakan calon menteri besar untuk negeri itu.

“Kenapa Muhyiddin yang umum manifesto PN Selangor? Adakah sebab Pas tidak setuju (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) jadi calon MB (menteri besar)?” ciapnya di Twitter hari ini.

Amirudin turut melahirkan “rasa peliknya” itu dalam ceramah di Ijok dan Permatang, Kuala Selangor malam tadi dengan mempersoalkan tindakan bekas pegawai Azmin yang mencadangkan calon DUN Hulu Kelang itu sebagai bakal menteri besar Selangor.

Muhyiddin sebelum ini dilapor ingin melantik seorang pemimpin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri Selangor tetapi, sengaja tidak mahu menamakan sesiapa.

Ketika nama Mohamed Azmin disebut-sebut, beberapa pemimpin Pas Selangor tidak menyatakan persetujuan mereka.

Malah, mereka beranggapan ada calon lain yang lebih layak.

Dewan Pemuda Pas Selangor bagaimanapun mencadangkan calon Sijangkang Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik menduduki kerusi tersebut.

Manakala, dua lagi pemimpin kanan parti itu Iskandar Abdul Samad dan Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan ramai calon lain yang turut layak dinamakan untuk jawatan berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast