JITRA – Pelaburan tambahan berjumlah lima bilion euro (RM25 bilion) oleh Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim adalah hasil rundingan Kerajaan Perpaduan dengan pelabur dari Jerman, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri itu berkata, keputusan itu dicapai setelah Kerajaan Negeri Kedah membuat rundingan selama 13 bulan namun gagal mencapai kata putus.
“Yang dia (Kerajaan Negeri Kedah) runding 13 bulan sudah, dia (pelabur Jerman), yang sebulan sudah dia mai runding dengan saya, bukan dengan mereka.
“Sebab apa dia runding dengan saya bukan sebab saya Anwar tapi sebab saya pemimpin Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini stabil,” dalam ucapannya sempena Ta’aruf Perpaduan, di Jitra malam tadi.
Semalam, Ketua Koordinator Pertubuhan Demokrat Sosial (DEMUDA), Aliff Naif Mohd Fizam berkata, kejayaan Anwar menarik pelaburan tambahan berjumlah lima bilion euro (RM25 bilion) oleh Infineon Technologies AG (Infineon) di Kulim membuktikan keyakinan pelabur asing terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Aliff Naif berkata, ia satu perkembangan yang sangat baik menunjukkan pelabur antarabangsa yakin terhadap kapasiti Malaysia untuk membangunkan perniagaan mereka yang secara tidak langsung bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda di negeri ini.
Oleh yang demikian, Anwar berharap rakyat Kedah memberi peluang kepada gabungan parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk berusaha mencari jalan membela nasib rakyat sekali gus mengangkat martabat rakyat di negeri itu.
“Kita nak cari jalan supaya nasib rakyat Kedah kita angkat, saya minta percaya satu saja, kita akan lakukan sebaik mungkin, kita doa supaya kita laksanakan sedaya upaya kita, angkat martabat rakyat negara kita bermula di Kedah,” katanya.
Dalam pada itu, dalam satu acara di Alor Setar, Perdana Menteri berkata, terdapat indikasi yang menunjukkan pengundi di Kedah menolak pemimpin yang gemar mencari gaduh dan suka menghina serta memaki hamun pemimpin lain.
“Ada satu gerakan di mana rakyat (Kedah) tidak mahu lagi (pemimpin) gaduh-gaduh… rakyat Kedah mahu satu negeri yang bersatu padu, maju ekonominya serta menjaga rakyat yang miskin.
“Ini guna kuasa hari-hari maki orang. Apa saya teruk sangatkah? Tak baik macam itu, gaduh sikit-sikit tak apa tapi jangan hari-hari maki,” katanya. – MalaysiaGazette