KUALA LUMPUR – Pemimpin DAP, Teresa Kok hari ini menggesa Gerakan untuk keluar dari gabungan Perikatan Nasional (PN) seandainya mempunyai maruah selepas menerima layanan buruk Pas.
Teresa melahirkan kekecewaan dan terkejutnya dengan tindakan biadap Pas terhadap Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau program ceramah di Bayan Lepas baru-baru ini.
“Selama bertahun-tahun saya dalam politik, saya sangka saya sudah melihat semuanya sehinggalah saya menyaksikan insiden yang sukar untuk dipercayai iaitu sikap dingin Setiausaha Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim terhadap Dominic.
“Saya lagi terkejut apabila Dominic sendiri menafikan dirinya dihalau oleh Iszuree semasa majlis yang melibatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu berlangsung malah Dominic mendakwa telah menerima maaf Pas walhal Iszuree terus mengunci mulut manakala yang mohon maaf adalah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sambung Teresa, beliau juga tidak pernah melihat seorang presiden parti dihina dan diperlekehkan sebegitu rupa.
“Pengundi mengharapkan pemimpin yang berani dan berprinsip, bukan seorang pengampu terutama kepada parti ekstremis seperti PAS.
“Dominic, penghinaan sebegini terhadap kamu adalah penghinaan kepada semua ahli Gerakan malah permohonan maaf tidak ikhlas ini (half-baked apology) adalah sama dengan dengan tidak meminta maaf.
“Gerakan harus meninggalkan PN jika masih ada maruah,” tegasnya.
Dominic sebelum ini mengakui tidak kisah tidak diundang menghadiri Ceramah Mega ‘PN Best’ di Sungai Dua, Tasek Gelugor selain menganggap program itu adalah anjuran Pas sekali gus parti itu berhak menentukan pihak yang mahu diundang atau tidak.
Kelmarin, Dominic yang juga Timbalan Presiden Perikatan Nasional (PN) dikatakan diminta meninggalkan program Ceramah Mega PN Best itu kerana tidak diundang menyertai program yang disertai Presiden Pas.
Pergeseran tercetus antara Pas dan Gerakan apabila kepimpinan Pas menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas kepada Dominic walaupun ia kerusi tradisi Pas. -MalaysiaGazette