DAP
Ahmad Zahid Hamidi

KEPALA BATAS – Kementerian Sumber Manusia disarankan agar memperluaskan penglibatan guna tenaga wanita dalam Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ia tidak seharusnya dalam bidang perindustrian domestik sahaja tetapi juga perlu dilibatkan dalam bidang berteknologi tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, ia sebagai langkah untuk tidak merendahkan bakat kemahiran serta kemampuan golongan Hawa di negara ini.

Sebaliknya, mereka perlu diberi peluang dengan mencungkil kemahiran yang ada agar menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara ini.

“Kalau kita lihat peluang pekerjaan guna tenaga wanita berpotensi di negara ini, statistik terkini memperlihatkan bahawa guna tenaga wanita semasa berada pada tahap 62.5 peratus.

“Saya berhara KSM bersama dengan pertubuhan Hawa Malaysia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan melalui latihan ketrampilan atau skill training.

“Sebelum ini saya pernah mengumumkan Program TVET untuk golongan wanita dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Kolej Agro Sains dan ia bukan sahaja membuka peluang latihan kemahiran wanita seramai 15,000 malah kita sasarkan 150,000 peserta melatih tenaga kerja wanita di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Karnival Kerjaya Myfuture Jobs bersama Hawa Malaysia “Perkasa Wanita dan Keluarga Pulau Pinang di Tapak Parkir Dewan Milenium di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, inisiatif itu akan melonjakkan penyertaan golongan wanita sekaligus meningkatkan peluang penyertaan wanita melebihi 90 peratus pada masa akan datang.

Justeru Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Program TVET wanita itu dilaksanakan di 12 kementerian membabitkan lebih 3,000 institusi TVET.

“Ia sekaligus menyaksikan nilai kebolehpasaran semasa berada pada tahap 92.6 peratus ertinya mereka yang dapat latihan TVET dan persijilan yang diberikan diiktiraf KSM dan nilai ekonomi diperoleh peserta itu ditingkatkan.

“Oleh demikian saya juga meminta agar guna tenaga wanita tidak hanya dikhususkan dalam bidang industri domestik semata-mata,tetapi kaum hawa perlu dilibatkan dan didedahkan juga dengan kemahiran berteknologi tinggi.

“Jangan merendahkan kemampuan kaum wanita di negara ini kerana jika mereka diberi peluang latihan kemahiran berteknologi tinggi saya yakin dan percaya golongan wanita Malaysia berada dalam garisan hadapan menyahut cabaran kerjaya dan pertumbuhan ekonomi di Malaysia,” ujarnya.

Tegasnya Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, pada suku pertama 2022, kadar pengangguran dalam negara berada pada tahap 4.1 peratus berbanding Kerajaan Madani pada suku pertama 2023 pengangguran diturunkan kepada 3.5 peratus.

“Ini pencapaian yang terbaik dan pada hemat saya Myfuture Jobs Hawa Malaysia adalah elemen penting mewujudkan pekerjaan dan kurangkan pengangguran apabila Hawa terlibat saya yakin kadar pengangguran pada suku pertama tahun 2024 akan turun kepada 2.5 peratus ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast