SIK – Helikopter yang dinaiki Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir pada program di Jeneri dan Kupang semalam bukan sahaja menarik perhatian penduduk kampung di FELDA Teloi Timur di sini malah menjadi perbualan di media sosial.
Selain helikopter dinaiki beliau, dua lagi helikopter turut dilihat mendarat di padang awam berhampiran lokasi majlis itu berlangsung.
Anwar dalam ucapannya mengakui helikopter yang dinaiki ketika hadir ke Karnival Segalanya Felda di sini adalah milik kerajaan.
“Anwar naik helikopter? Ya aku naik tetapi helikopter VIP milik kerajaan, hang tau dak.
“Hangpa sakit hati fasal apa kerajaan punya bukan hang punya tetapi hang tak boleh pakai, perdana menteri sahaja boleh pakai,” katanya.
Hasil siasatan mendapati, helikopter bernombor pendaftaran 9M-JPM itu pernah dilaporkan media dibeli ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Helikopter jenis Agusta Westland AW139 dikatakan dibeli antara tahun 2020 hingga 2021 dan tiba di Malaysia dan mula terbang sejak September 2021 lagi oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kegunaan pimpinan utama negara.
Tulisan JPM turut terpapar di badan helikopter itu adalah logo Kerajaan Malaysia.
Selepas setahun lebih penggunaannya, Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri pada November 2022.
Anwar sebelum ini pernah menolak untuk menggunakan sebuah kereta Mercedes kalis peluru yang telah dibeli tetapi belum digunakan lagi oleh mana-mana perdana menteri.
Ekoran itu, Presiden PKR telah mencadangkan kereta bernilai hampir RM2 juta ini dikembalikan kepada pembekalnya.
Sementara itu, Felda Teloi Timur adalah di bawah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang akan dipertahankan penyandangnya yang Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.
Untuk rekod beliau menang pertama kali kerusi itu pada 2018 dan akan berhadapan pertandingan satu lawan satu calon Barisan Nasional, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: