Sabrina Ahmad

KUALA LUMPUR – Himpunan parti politik yang dianjurkan secara besar-besaran tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat kerana ia boleh dibuat-buat.

Pandangan itu dilontarkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, Sabrina Ahmad yang menyifatkan teknik bersua muka dengan pengundi lebih baik kerana banyak luahan boleh didengar daripada rakyat.

“Kita lihat dalam media sosial, PN (Perikatan Nasiona) berbangga dengan himpunan besar dalam ceramah mereka. Diaturkan golongan belia bermotosikal bagi menunjukkan sokongan rakyat kepada mereka.

“Bagaimanapun himpunan besar tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat kerana ia boleh dibuat-buat.

“Sebaliknya, jauh di dasar bila kita temui secara peribadi pengundi, ramai di antara mereka yang tertekan dengan kegagalan kerajaan menunaikan kewajipan menyediakan kemudahan asas termasuk paling kritikal ialah bekalan air bersih,” katanya dalam kenyataan.

Sabrina berkata, rakyat dahagakan pembangunan dan sungutan yang sering didengar adalah berkaitan kekurangan peluang kerja di negeri Kedah.

Katanya, semua itu merupakan masalah dasar yang dirasai oleh majoriti pengundi senyap dan penyelesaian kepadanya ialah dengan menukar tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Jelas beliau, kerajaan negeri perlu selari dengan kerajaan di peringkat Persekutuan supaya lebih banyak pembangunan mampan dapat dilakukan untuk rakyat Kedah.

“Sebab itu saya melihat PH-BN berpeluang untuk menguasai DUN Kedah bila rakyat sedar mereka tidak boleh hidup dengan emosi yang merugikan.

“Kami dari PH-BN akan berhabisan untuk membuat yang terbaik untuk menjaga kepentingan rakyat Kedah.

“Saya yakin dengan kesepaduan pasukan BN-PH, termasuk di Jitra, kita akan mampu mencatatkan kejutan dan kalih Kedah bagi sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast