KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Hulu Kelang memberi tumpuan kepada kira-kira 11, 000 pengundi yang merupakan penyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Calon PH, Hulu Kelang, Juwairiyah Zulkifli berkata, undi mereka perlu memandangkan PH kini sudah bekerjasama dengan BN di peringkat pusat.
“Namun demikian, apa yang saya lihat perlu penerangan lebih jelas kepada ahli UMNO khususnya yang veteran ini kerana mungkin maklumat itu sampai, mungkin tidak.
“Ini yang sebenarnya kita sedang usahakan lagi melalui rakan pimpinan BN untuk memberi penerangan kepada ahli mereka juga,” katanya selepas mengadakan walkabout bertemu pengunjung dan peniaga pasar tani AU2 Keramat di sini hari ini.
Beliau ditemani Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani yang juga Naib Presiden UMNO.
Menurut Juwairiya, DUN Hulu Kelang adalah kawasan PH yang dimenangi selama tiga penggal.
Bagaimanapun PRN kali ini merupakan kali pertama bagi gabungan PH – BN berpadu tenaga dengan kedua-dua parti mempunyai kekuatannya tersendiri.
Ditanya mengenai perjalanan kempennnya, Juwairiya tidak berdepan sebarang masalah ketika bertemu dengan pengundi mahu pun daripada jentera BN sendiri.
Ujarnya, beliau menerima sokongan 100 peratus daripada rakan BN malah pada malam tadi turut dijemput dalam pertemuan tertutup dengan Pengerusi BN Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.
“Dalam pertemuan itu mereka menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi BN kepada calon PH di Hulu Kelang. Jadi, saya bersyukur ke mana sahaja saya turun rakan-rakan daripada BN turut sama dan ini menunjukkan perpaduan yang sebenar di negeri Selangor yang turut dizahirkan di Hulu Kelang,” katanya. – MalaysiaGazette