Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak sedia menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) sekiranya Ketua Menteri, Chow Kon Yeow enggan membatalkan Projek Selatan Pulau Pinang (PSI).

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan negeri berkata, pendirian itu diambil susulan kerajaan negeri masih degil untuk meneruskan projek PSI meskipun ia dibantah ramai susulan akan merosakkan eko sistem dan mata pencarian nelayan.

“Sebelum ini Kon Yeow gesa kita untuk menarik diri daripada PRN15 atas alasan membantah ekstrem Pas tapi kini saya cabar Kon Yeow untuk batalkan projek PSI.

Tong Keong (tiga dari kiri) mengadakan sidang media di Bayan Baru hari ini.

“Jika batalkan PSI, saya akan tarik diri serta merta daripada bertanding dalam PRN kali ini. Kesediaan ini juga demi kepentingan rakyat Pulau Pinang khususnya mereka yang akan terjejas di kawasan tambakan tersebut,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PN DUN Pantai Jerejak di Bayan Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tong Keong berkata, alasan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meneruskan projek berkenaan untuk mendapatkan dana pembinaan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) tidak masuk akal susulan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju membiayai kos tersebut.

“Bila kerajaan nak biayai projek LRT mereka kecilkan skop projek PSI daripada tiga pulau kepada satu sedangkan ramai buat bantahan bahawa ia tetap akan mendatangkan kerosakan kepada alam sekitar.

“Kita percaya pemaju dan konsortium besar yang akan mendapat kebaikan dan keuntungan besar dari projek PSI manakala penduduk tempatan dan nelayan menjadi mangsa kesempitan hidup.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada pengundi-pengundi Pulau Pinang untuk keluar mengundi beramai-ramai pada 12 Ogos ini sekali gus menunjukkan bantahan terhadap Kerajaan PH yang bekeras meneruskan PSI,” katanya.

Kon Yeow sebelum ini dilaporkan berkata, Gerakan patut menarik diri daripada PRN kali ini jika masih bermaruah.

Ia rentetan Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai ‘dihalau’ menyertai ceramah PN Best di Sungai Dua pada 1 Ogos lalu serta Pas didakwa akan mengamalkan ekstrem. – MalaysiaGazette