Datuk R Sri Sanjeevan
Sri Sanjeevan

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) digesa untuk berhenti menyebarkan fitnah bagi menakutkan rakyat semata-mata untuk meraih kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menurut Ketua Penerangan Sayap Bersekutu, Datuk Sri Sanjeevan, walaupun pimpinan PH yang paling lantang  menolak kenyataan 3R (agama, kaum dan raja) namun pada masa sama mereka ghairah mengeluarkan penyataan yang boleh menimbulkan kerisauan rakyat.

Kata Sanjeevan, memang adat pilihan raya akan bercakap tentang pihak lawan namun tidak sepatutnya isu-isu yang membangkitkan kemarahanan dan kerisauan rakyat  jika mengundi Perikatan Nasional (PN).

“Antara contoh yang seringkali menjadi bahan kempen ialah isu pemakaian seluar pendek. Saya tanya anda balik, apabila PN menjadi kerajaan dengan Menteri Kabinetnya ada dalam kalangan Pas, adakah sesiapa dilarang dari pakai seluar pendek?

“Adakah yang bukan Islam dipaksa tukar agama dan sebagainya? Adakah kebebasan agama kaum lain terutamanya di Kelantan diganggu-gugat selama ini?

“Jadi bagaimana contoh ini boleh diguna pakai kononnya negara ini akan menjadi ekstrem? Dalam PN kita juga menerima kepelbagaian, ramai dalam kalangan pimpinan PN yang bukan beragama Islam dan Melayu yang bertanding.,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Sanjeevan lagi, hakikatnya PH seperti kehabisan modal dan masih lagi bersikap seperti pembangkang pada PRN kali ini.

“Kalau dulu macam-macam boleh ‘digoreng’ ketika PRU-15 tapi kini hasrat untuk menjadi perdana menteri sudah menjadi realiti. Jadi sudah seperti kehabisan modal lagi-lagi dengan ramai mula ke arah gabungan PN.

“Jika ekstrem tidaklah kami bertanding pelbagai kaum. Kepada pihak lawan yang bertanding ini, henti bercakap tentang isu-isu seperti ini dan mula bercakap seperti sebuah kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Cakap tentang apakah kebaikan yang boleh dilaksanakan untuk rakyat dan bagaimana hendak membangunkan negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast