Calon Perikatan Nasional (PN) N.34 Bukit Gasing, Nallan Dhanabalan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ke-15 di Bilik Gerakan Utama Bukit Gasing, Petaling Jaya, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 05 OGOS 2023.

PETALING JAYA – Berbangsa India namun kebolehan bertutur dan menulis bahasa Cina antara kelebihan calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing, Nallan Dhanabalan.

Nallan juga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik itu merupakan bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selain menjadi pegawai khas kepada bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Kelebihan itu membekalkan Nallan keyakinan dirinya mampu berdepan dengan penyandang dua penggal, Rajiv Rishyakaran yang juga calon untuk Pakatan Harapan (PH) daripada DAP buat kali ketiga.

Selain Rajiv, DUN Bukit Gasing akan menyaksikan satu lagi lawan daripada parti Muda, VKK Raja.

“Bertanding di DUN ini memerlukan wakil yang rakyat yang dekat dengan masyarakat dan isu-isu setempat kawasan itu.

“Pengalaman saya dalam PBT selama belasan tahun kemudian berpeluang menjadi pegawai khas kepada Datuk Zuraida Kamarudin dari 2018 hingga 2020 akan banyak membantu memahami keperluan masyarakat DUN Bukit Gasing.

“Peluang berkempen yang masuk hari kelapan, saya sudah bertemu lebih 5,000 penduduk dan mendengar sendiri keluh kesah mereka, isu-isu yang dibangkitkan sebenarnya juga boleh diselesaikan pada peringkat PBT dan kerajaan negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Kata Nallan, beliau tidak melalui kesukaran untuk berdepan dengan penduduk setempat terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina yang juga merupakan pengundi tertinggi iaitu hampir 64 peratus.

Nallan tidak kekok bersama masyarakat Cina kerana mampu bertutur dalam bahasa mereka ketika berkempen di DUN Bukit Gasing

“Rata-rata mereka boleh duduk dan bercakap dengan saya kerana kemampuan saya bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Saya fasih kerana bersekolah di sekolah Cina dulu. Ini juga menyebabkan kebanyakan penduduk sini seronok bercakap dengan saya.

“Pada masa sama, kebolehan saya bertutur dalam bahasa Melayu dan sudah tentu bahasa Tamil itu menyebabkan saya tidak berdepan kesukaran komunikasi sebaliknya saya dapat berinteraksi dengan baik sekali,” ujarnya.

Pecahan kaum di Dun Bukit Gasing ialah kaum Cina memiliki peratusan sebanyak 63 peratus, India 18 peratus dan Melayu sebanyak 16 peratus. -MalaysiaGazette