Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) mengiringi calon Pakatan Harapan N.18 Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli (kiri) berbual mesra dengan penduduk sempena kempen Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) Selangor di Pasar Tani Keramat AU2, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 05 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor mampu menjadikan negeri itu ditadbir
dengan lebih baik kerana kedua-dua parti mempunyai pengalaman.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bukan soal seiring sebaliknya pengalaman yang pernah dilalui oleh kedua-dua parti dalam mentadbir Selangor penting demi kesejahteraan rakyat.

“Kalau kita tengok sesuatu kerajaan negeri itu telah dapat membuktikan bahawa dia boleh membawa kesinambungan.

“Selangor ini Barisan Nasional control (kawal) selama 60 tahun. Selepas itu kita kalah, kemudian diambil alih oleh PH (Pakatan Harapan).

“Tetapi kita tengok dia boleh bawa benda itu dan kita pula dah kalah, sekarang kita partner (rakan). Jadi, baguslah.

“Makna PH pun ada pengalaman mentadbir negeri, kita (BN) pengalaman track record (rekod sejarah) 60 tahun, kita combine at the end of the day kalau kita dapat buktikan, rakyat akhirnya dapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas mnegadakan walkabout bertemu pengunjung dan peniaga pasar tani AU2, Keramat di sini hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai menifesto Perikatan Nasional (PN) yang menawarkan tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran untuk rakyat Selangor malam tadi, Johari berkata, apa pun yang dijanjikan atau rangsangan yang diberi, perkara paling penting dalam mana-mana negara atau negeri yang mahu ditadbir mesti ada kestabilan politik.

Katanya, tidak boleh kestabilan itu disisihkan kerana ia merupakan perkara pertama yang dan menjadi asas.

“Yang kedua mesti ada competence leaders (pemimpin yang cekap). Pemimpin ini daripada peringkat atas sampai ke bawah sehingga peringkat wakil rakyat mesti faham bagaimana pentingnya ada pemimpin dan wakil rakyat yang cekap
selepas itu yang lain akan datang automatik.

“Jadi, kalau dua-dua ini tak ada, masalah. Tetapi, kalau hari kita cerita pasal politik, politik ada masalah besar dalam negara. Sebab itu kalau kita tengok banyak negara besar di luar sana dia habis pilihan raya, habis (berpolitik).

“Kita habis pilihan raya tak habis lagi berpolitik. 365 hari cerita politik dan akhirnya siapa yang akan bermasalah. Masalahnya adalah kepada rakyat,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast