Zulkifli Ibrahim calon PN DUN Sungai Acheh

NIBONG TEBAL – Pakatan Harapan (PH) lantang mengkritik pihak lain gagal berlaku adil dan bertoleransi namun mereka sendiri gagal mempraktikannya.

Calon Perikatan Nasional dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim mendakwa PH sejak awal kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) menuduh Perikatan Nasional (PN) mengeluarkan kenyataan diskriminasi perkauman.

Namun PH sebagai parti memerintah juga menyentuh isu-isu sensitif.

“Apa gunanya dia lantang bercakap sikap toleransi antara kaum tetapi dia sendiri gagal bertoleransi dalam banyak perkara.

“Contoh paling mudah adalah apabila pimpinan mereka di Pulau Pinang macam bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Profesor P. Ramasamy semua tahu macam mana dia telah jaga dan membela nasib masyarakat India di kawasannya selama ini.

“Malangnya, disebabkan political milage, diaorang pecat dia (Ramasamy) daripada parti.. saya dan juga sesiapa pun tidak nampak apa kesilapan beliau.

“Masa dia jadi Timbalan Ketua Menteri banyak bantu golongan India tapi hari ini dia disingkir daripada menjadi calon semula,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Sungai Acheh semalam.

Tambah Zulkifli, calon baharu yang digantikan untuk tempat Ramasamy di Perai belum tentu boleh membuat apa yang telah sumbangkan oleh pemimpin berpengalaman  itu.

Katanya, apa jua fitnah yang dilemparkan PH ke atas PN sepanjang tempoh berkempen semuanya sekadar andaian dan tuduhan politik yang harus diketepikan para pengundi.

“Tetapi dari segi komitmen masyarakat akibat PN memainkan peranan cakap isu agama, ada seorang penduduk mendakwa Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) cakap pasal benda kasar.

“Saya menegur penduduk itu dengan mengatakan bahawa dia suka Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menyokong apa jua yang dipertuturkannya misalnya jika Anwar sebut perkataan bangang, kepala bapa dan sebagainya dia akan suka dan sokong teguran itu.

“Kalau kita (PN) cakap baik pun, jika mereka tak suka maka mereka akan dakwa kita cakap kesat dan sebagainya, dia tidak berlaku adil sebenarnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast