Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu

SEREMBAN – Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menggariskan lapan tawaran untuk dilaksanakan jika menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, tawaran pertama adalah Memacu Daya Tahan Ekonomi dan Menangani Kos Sara Hidup.

Ia termasuklah memperkenalkan Kad Nismilan Prihatin bagi pembelian barangan asas di kedai terpilih untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Selain itu adalah memperkenalkan skim TaNismilan dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi menjamin bekalan makanan dan meningkatkan pendapatan kumpulan sasar.

“Tonggak kedua adalah Melestari Masa Depan Belia melalui inisiatif Nismilan Mudo bagi menyediakan latihan perniagaan digital (e-commerce) kepada bakal usahawan muda dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM2 juta setahun,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika mengumumkan
Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan secara langsung di Facebook rasmi PN negeri hari ini.

Ahmad Faizal berkata, belia yang layak dan berminat menyertai sektor ekonomi gig juga berpeluang mendapat subsidi lesen motosikal B2 bernilai RM300 bagi permohonan lesen kali pertama.

“Di bawah tawaran ke tiga Merakyatkan Pendidikan pula, sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

“Turut diperkenakkan adalah Skim Siswa Nismilan (SSN) bagi menyediakan bantuan awal pengajian berjumlah RM1,200 kepada pelajar tahun pertama anak negeri bagi keluarga yang memerlukan,” katanya.

Golongan wanita turut diberi perhatian di bawah tonggak Memperkasa Wanita Unggul melalui geran Inkubator Usahanita Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk program upskilling dan reskilling, khidmat nasihat dan latihan digital.

“Tonggak kelima hingga lapan adalah Mempertingkatkan Kesejahteraan Sosial, Memperkukuh Jaringan Infrastruktur dan Keselamatan.

“Merancakkan Ekopelancongan Serta Pelancong Berasaskan Budaya dan Warisan, Meningkatkan Kecekapan Tadbir Urus,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast