Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berucap pada program Jelajah Madani sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15). Foto MOHD ADZLAN, 05 OGOS 2023.

SUNGAI PETANI – Perikatan Nasional (PN) Kedah diakui memiliki kelebihan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini kerana mempunyai badut seperti Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, hari ini politik negeri ini telah dibadutkan oleh Muhammad Sanusi yang membawa watak pemimpin disukai orang ramai.

Jelas beliau, perwatakan itu telah berjaya menarik terutama anak muda untuk menyokong Pengarah PRN PN itu.

“Memang ada kelebihan-kelebihan kepada PN dan Pas, serta ada kelemahan-kelemahan di sebelah kita. Ini kita kena akui.

“Sebabnya ialah kita tidak ada badut. PN ada badut. Zunar (aktivis PKR) mana? Kalau hendak bantu (kempen) lepas ini, boleh belajar jadi badut macam Sanusi.

“Walaupun dia nampak macam melawak, tapi sebenarnya adalah keadaan kempen hari ini. Graf sokongan pengundi dari umur 25 tahun ke atas, sampai 60-70 tahun, di enam negeri, semuanya sokongan kepada Kerajaan Perpaduan melebihi PN.

“Kita ada masalah 20 tahun ke bawah sebabnya ini bila politik ini telah dibadutkan macam orang macam Sanusi,” katanya ketika berkempen pada Jelajah Madani di Taman Delima di sini hari ini.

Rafizi menambah, lebih memburukkan keadaan, Muhammad Sanusi yang juga Naib Presiden Pas itu akan naik ke pentas dan berceramah untuk memaki dan mencerca pemimpin lawan yang menjadi tarikan kepada penyokongnya.

Beliau memberitahu, Muhammad Sanusi juga akan menggambarkan dirinya seorang pemimpin yang serba-boleh di mata rakyat.

“Hari ini dia (Sanusi) main sepak takraw. Esok dia main bola, serba-serbi kebolehan dia. Kalau tanya di Kedah yang berjuang demi Sanusi, sebab dia akan kata menteri besar kami dia serba-boleh.

“Jadi kita berdepan politik hari ini bila ada badut macam Sanusi ini yang beri pengaruh untuk pengundi muda.

“Kalau sekarang ini kumpulan pengundi PN berada di depan berbanding kita ada di kalangan umur 18 hingga 21 tahun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast