KEPALA BATAS – Golongan suami di negara ini diminta melakukan caruman dalam Perlindungan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pihak isteri masing-masing.
Ini kerana isteri menjadi suri rumah dan ia boleh menjadi satu jaminan tambahan kepada mereka.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, langkah itu digalakkan kepada lelaki yang sudah berumah tangga agar setiap pengorbanan isteri mereka sebagai suri rumah menjaga dan melindungi anak-anak dihargai melalui Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Katanya, masih ramai dalam kalangan suri rumah yang tidak tahu apa sebenarnya SKSSr.
“Perlindungan SKSSR ini bukan hanya untuk suri rumah sepenuh masa tetapi juga untuk suri rumah separuh masa iaitu wanita berkerjaya atau pun yang berkahwin, masih bujang atau ibu tunggal.
“Selagi mereka masih berusia di bawah 55 tahun, mereka layak untuk menerima caruman perlindungan PERKESO daripada suami mereka dan memandangkan bayaran caruman boleh dibuat oleh suami atau pihak ketiga, saya menyeru para suami agar mencarum bagi pihak isteri mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Karnival Myjobs Wanita di Tapak Dewan Milenium, di Bertam Kepala Batas hari ini.
Majlis anjuran Hawa Malaysia bersama PERKESO dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia itu telah telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Pertubuhan Hawa Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Dalam perkembangan sama, Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah menambah pihaknya sedang mempergiatkan usaha untuk menyebar luas maklumat dan manfaat SKSSR ke seluruh negara.
Pada masa yang sama, beliau mahu pihak ketiga antaranya badan bukan kerajaan, majikan, syarikat swasta turut supaya tampil berganding bahu menyokong dan menaja caruman SKSSR bagi suri rumah sebagai satu tanggungjawab sosial.- MalaysiaGazette