Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan tergesa-gesa mengeluarkan nama pemimpin dan ahli yang tersenarai dalam kenyataan media kononnya telah keluar parti itu untuk bersama Muafakat Nasional (MN) dan Pas.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana ada antara mereka telah menafikan berbuat demikian sebagaimana diumumkan Pengerusi MN, Tan Sri Annuar Musa.

“Semalam, kononnya disenaraikan ahli-ahli UMNO yang keluar parti. Hari ini seorang demi seorang buat penafian dan tidak tahu menahu nama mereka dimasukkan dalam senarai.

“Sebab itulah selaku Setiausaha Agung UMNO, saya telah mengarahkan ibu pejabat untuk tidak sewenangnya mengeluarkan nama mereka yang tersenarai dalam kenyataan media semalam daripada senarai keahlian UMNO sehinggalah disiasat dan diteliti agar tidak menzalimi mana-mana pihak.

“Sudah menjadi lumrah politik cara lama, setiap kali menjelang pilihan raya, maka akan ada pengisytiharan keluar parti atau masuk parti sebagai salah satu kaedah perang psikologi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Malam tadi, kepimpinan jawatankuasa UMNO Bahagian Ketereh mengumumkan peletakan jawatan beramai-ramai dan keluar daripada UMNO berkuatkuasa serta merta, selain memberi sokongan kepada Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Annuar dilaporkan berkata, kepimpinan itu terdiri daripada Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Ketereh, Kamaruddin Said bersama Ketua Wanita UMNO Bahagian Ketereh, Sabariah Hamzah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian, Afiq Amani Annuar.

Selain itu, menurutnya, 18 lagi kepimpinan melibatkan setiausaha, ahli jawatankuasa (AJK) Wanita, Ketua Penerangan, AJK Pemuda dan pelbagai peringkat UMNO Bahagian Ketereh turut berbuat tindakan sama hari ini.

Sementara itu, seorang AJK Wanita Bahagian Ketereh, Wan Rosmah Husin menafikan dirinya turut keluar UMNO.

Malah beliau tidak tahu menahu namanya turut tersenarai dalam barisan kepimpinan UMNO Ketereh yang keluar parti itu secara beramai-ramai.

Ujarnya, beliau masih ahli UMNO dan sedang sibuk membantu calon DUN Melor, Azmi Ishak berkempen sempena Pilihan Raya Negeri sekarang. – MalaysiaGazette