KUALA LUMPUR – Seramai 884,688 orang berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi tempoh Januari 2020 hingga 21 Julai 2023 melalui portal MyFutureJobs yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pada tahun ini sehingga 21 Julai lepas, seramai 108,177 individu berjaya mendapat pekerjaan menerusi portal tersebut.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, statistik itu merupakan penanda aras bahawa ramai individu mendapat pekerjaan dan kadar pengangguran semakin berkurangan.
Menurutnya, usaha kementerian melalui Perkeso dalam membantu golongan penganggur juga semakin membuahkan hasil kerana kadar pengangguran negara terus mencatatkan penurunan kepada 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku keempat tahun lalu.
“Saya amat gembira apabila mendapat tahu bahawa sebanyak 45 karnival kerjaya termasuk sesi temu duga dianjurkan khusus untuk pencari kerja wanita sejak Januari tahun ini. Ini adalah satu usaha murni dalam menggalakkan golongan wanita menyertai pasaran kerja, seterusnya memberi peluang kepada mereka meningkatkan taraf hidup keluarga dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Sejak Januari 2020 hingga 21 Julai 2023, hampir separuh daripada 72,374 orang yang berjaya memperoleh pekerjaan di Pulau Pinang ini, adalah wanita, iaitu seramai 32,711 orang. Tahun ini juga mencatatkan trend yang sama di mana 3,761 wanita adalah antara 8,170 individu di negeri ini yang telah ditempatkan dalam pekerjaan oleh Perkeso.
“Dalam Karnival Kerjaya MYFutureJobs kali ini, kira-kira 30 majikan menawarkan lebih daripada 3974 jawatan kosong merentasi pelbagai sektor. Saya amat berharap rakyat Pulau Pinang memanfaatkan peluang yang disediakan ini untuk mendapat pekerjaan stabil,” katanya selepas Majlis Pelancaran Karnival MyFutureJobs di Pulau Pinang.
MYFutureJobs dibangunkan untuk pencari kerja tempatan yang dilengkapi dengan sistem padanan pekerjaan dengan lebih tepat dengan peluang pekerjaan berdasarkan kelayakan, kemahiran, pengalaman, gaji, lokasi pemohon. – MalaysiaGazette