Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bergambar kenangan bersama peserta yang hadir pada Majlis Penutupan Mega Bike Week Terbesar Belia Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 06 JULAI 2023.

SERDANG – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mempertimbangkan untuk memberi peruntukan tahunan kepada kelab-kelab permotoran yang berdaftar di negeri ini.

Menurutnya, langkah berkenaan bagi menggalakkan kelab-kelab berkenaan menganjurkan aktiviti yang berimpak positif dan selari dengan misi masing-masing.

“Saya bukan nak janji atau tawarkan ini sebagai gula-gula, tapi saya tahu ini untuk semua.

“Saya juga tahu tuan puan suka aktiviti konvoi, jadi peruntukan ini boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti konvoi dan kemasyarakatan,” katanya ketika Majlis Penutupan Mega Bike Week di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Turut hadir, Presiden Majlis Belia Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Amirudin Shari ketika hadir pada Mega Bike Week Terbesar Belia Selangor di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 06 JULAI 2023.

Menurut beliau, ahli-ahli kelab permotoran perlu digalakkan untuk melakukan aktiviti  bermanfaat agar dapat mengubah persepsi masyarakat.

“Saya tidak mahu ada persepsi kata mat motor kerja nak berlumba sahaja, menyusahkan orang tapi berbakti kepada masyarakat,” tambah beliau.

Sementara itu, Amirudin memberi jaminan akan terus menyokong kelab-kelab permotoran di Selangor selagi menjadi menteri besar.

“Selepas ini kalau semuanya berjalan lancar saya mahu ikut anda semua berkonvoi di seluruh negara,” katanya lagi.-MalaysiaGazette