BALIK PULAU – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyifatkan kenyataan melabelkan UMNO kafir sampai kiamat bukan sesuatu yang dituntut dalam politik masa kini khususnya membabitkan golongan muda.
Jelas beliau, sentimen seperti itu sudah jemu bagi golongan muda yang mahupun politik matang serta bersatu padu.
“Bagi saya isu-isu seperti ini (melabelkan UMNO kafir sampai kiamat) tidak perlu dimainkan malah, saya percaya orang muda terutamanya sudah jemu dengan sentimen yang nak mengkafirkan orang sana sini.
“Dalam politik boleh ada perbezaan pandangan namun tidak boleh wujud sentimen untuk memecahbelahkan penyatuan yang terjalin sesama manusia.
“Zaman dah moden, banyak perubahan sudah berlaku..apa lagi nak cakap kafir sesama sendiri dan ini juga bukan salah satu politik yang dituntut oleh orang muda kerana mereka (anak muda) mahukan politik yang matang, progresif,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, Akmal mengadakan mesyuarat bersama barisan Pemuda UMNO negeri termasuk calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Teluk Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan.
Mengulas lanjut Akmal menegaskan beliau percaya kenyataan itu bukan mewakili pendirian Pas secara keseluruhan kerana masih ada orang Pas yang relevan dan matang.
“Selain itu, rakyat hari ini juga matang yang boleh menilai bahawa kenyataan-kenyataan seperti itu adalah tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang warga emas menyatakan bahawa sekiranya dia mengundi UMNO dirinya akan ‘kafir sampai kiamat’.
Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegaskan partinya tidak menganggap UMNO sebagai musuh, apatah lagi mengkafirkan mereka selepas tular video membabitkan warga emas tersebut.
Jelas Hashim, video berkenaan dipergunakan pihak tertentu untuk meraih undi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-15 memandangkan pendirian Pas berhubung isu kafir-mengkafir telah lama selesai. – MalaysiaGazette