SEREMBAN – Pengundi tidak sepatutnya dimomokkan dengan tanggapan bahawa wakil rakyat bebas tidak mampu berkhidmat dengan baik dan membawa pembangunan di kawasan yang mereka wakili.
Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pemimpin yang berwibawa mampu mengurus dan membawa kemajuan walaupun tidak bersama mana-mana parti.
Beliau yang juga penyandang kerusi tersebut berkata, kemahiran mengurus serta komitmen untuk membangunkan rakyat menjadi asas tanggungjawab dalam menjalankan amanah yang diberi.
“Pada masa yang sama, rakyat tidak boleh diperbodohkan dengan ditakut-takutkan dengan istilah ‘sorang-sorang’ kerana kesemua eksekutif, baik perdana menteri, menteri besar, menteri mahupun exco tiada hak untuk menafikan pembangunan di kawasan yang tidak diwakili oleh wakil rakyat dari parti pemerintah.
“Jika ada mana-mana eksekutif menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak pembangunan di tempat wakil rakyat pembangkang, maka rakyat wajib menolak pemimpin berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohamad Rafie mengulas kenyataan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berucap dalam Bicara Serangkai Perpaduan di sini semalam bahawa sukar untuk membangunkan Ampangan sekiranya kerusi tersebut dimenangi oleh calon Bebas.
Beliau bertanding sebagai calon Bebas setelah tidak berpuas hati dengan keputusan PKR meletakkan Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman untuk menggantikannya.
Mohamad Rafie memberitahu, pelbagai kemajuan telah dibawa ke Ampangan dan penyelenggaraan berada pada tahap membanggakan sepanjang sepenggal beliau berkhidmat di kawasan tersebut dahulu.
“Untuk makluman, banyak juga pembangunan yang berlaku di DUN Ampangan tidak menggunakan dana kerajaan negeri mahupun kerajaan Persekutuan sepenuhnya seperti pembinaan Surau Taman Desa Ros dan pembesaran Surau Taman Dusun Nyior,” jelasnya. – MalaysiaGazette