Calon BN kerusi N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin bercakap kepada MalaysiaGazette semasa melawat Pertandingan Memancing di Desa Kasih Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN

SEKINCHAN – Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) amat penting kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di Selangor untuk mengembalikan semula punca kuasa politik yang hilang sejak 2008.

Calon BN kerusi N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, BN berpeluang memulihkan semula kuasa politiknya menerusi Kerajaan Perpaduan sekiranya memenangi pilihan raya itu, 12 Ogos ini.

“Sebelum ini kita ada parti politik, kita hebat, parti kita kuat, kita banyak cawangan, ramai pemimpin, tapi kita tidak ada punca kuasa politik.

“Hari ini kita ada peluang, kita ada potensi untuk bersama-sama dengan PH dan BN dalam Kerajaan Perpaduan Selangor untuk kita kembali ada punca kuasa di Selangor.

“Apabila kita ada punca kuasa politik di Selangor, kita yakin dan percaya, banyak perkara kita boleh laksanakan, banyak perkara tergendala dan tertangguh boleh kita sambung semula,” katanya di sini, hari ini.

Calon BN kerusi N03 Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin berucap pada Pertandingan Memancing di Desa Kasih Batu 23 Sungai Nibong, Sekinchan, Selangor, hari ini.
Foto: NIZAM ZAIN

Terdahulu beliau melawat Pertandingan Memancing di Desa Kasih Batu 23 Sungai Nibong, di sini.

Mohd Imran yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi N03 Sungai Panjang dalam PRN15 pada 12 Ogos ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Imran memenangi kerusi N03 Sungai Panjang dengan majoriti 2,084 undi selepas menewaskan calon daripada Pas dan PKR.

Mohd Imran juga berkata, jentera dan pucuk pimpinan BN tidak boleh berasa ragu dan was-was dengan konsep Kerajaan Perpaduan jika ingin kembali berkuasa di Selangor.

“Yang mustahaknya kita mesti ada satu tekad yang sama, satu iltizam yang sama, kita perlu ada satu semangat yang sama.

“Kita tak boleh rasa was-was, kita tak boleh rasa ragu-ragu, kita tak boleh ada perbahasan lain antara kita tentang Kerajaan Perpaduan ini.

“Kita tak boleh dengar tohmahan, dakyah, sentimen dan persepsi yang dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN). Hari ini kita mesti bergerak, menari dan mengikut irama yang kita dendangkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast