PADANG TERAP – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih ada masa untuk mengubah fikiran dengan menerima debat terbuka mengenai unsur nadir bumi (REE) dengan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, Sanusi masih boleh menyahut cabaran itu bagi membolehkan rakyat negeri Kedah menilai setiap fakta dan dokumen dikemukakan pada pentas debat berkenaan.
“Sanusi perlu jawab isu ini (REE) melalui satu cara iaitu debat tapi dia menolak, jadi debat itu saya rasa Sanusi masih ada masa untuk mengubah fikiran.
“Saya kemukakan faktanya, dokumennya, saya kemukakan dan kemudian rakyat Kedah buat penilaian, syaratnya tak boleh maki ‘kepala bapak’, itu sahaja,” katanya pada sidang media selepas mengadakan walkabout bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pedu, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Pekan Naka, hari ini.
Semalam pengacara televisyen dan penceramah bebas, Amin Idris mengesahkan tidak dapat meneruskan platform debat antara Saifuddin dengan Sanusi.
Beliau berkata, ini kerana beliau telah menghubungi pegawai Menteri Besar Kedah dan dimaklumkan Muhammad Sanusi tidak setuju untuk hadir.
“Seperti mana semua sedia maklum, saya tawarkan platform debat dengan saya sebagai moderator untuk pihak Sanusi dan Menteri Dalam Negeri bertujuan masing-masing berdepan bawa hujah berbanding jaguh hanya di depan penyokong.
“Tujuan debat ini biarlah rakyat yang menilai. Itu sahaja. Perkembangan terbaiknya, Saifuddin sudah bersetuju. Alhamdulillah, tetapi, bila saya follow up pegawai Sanusi, dia memaklumkan MB tidak setuju untuk hadir.
“Oleh itu, saya mohon semua pihak hormati keputusan beliau dan saya juga ucap terima kasih kepada kedua pihak yang bekerjasama dengan baik sekali memberi respon. Saya doakan yang terbaik untuk Sanusi dan Saifuddin,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.
Pada Khamis lalu, pengacara itu menawarkan diri untuk mempertemukan Saifuddin dan Sanusi di pentas debat.
Amin berkata, tawaran itu diberikan selepas melihat Sanusi diasak bertalu-talu dalam isu kecurian REE di Kedah.
Jelasnya, Amin Idris Show yang disiarkan di media sosial mencadangkan tarikh debat pada 7 Ogos depan atau bergantung persetujuan kedua-dua pihak. – MalaysiaGazette