Ahmad Zaki Shah (tengah) menyifatkan gabungan BN-PH ibarat pembentukan Malaysia sebelum ini.

BALIK PULAU – Calon UMNO bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan menepis dakwaan dirinya dipilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) atas faktor pengaruh ayahnya.

Anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Shah itu menegaskan pemilihannya dibuat berdasarkan jawatannya dalam UMNO sendiri.

Beliau yang juga seorang peguam bagaimanapun tidak menafikan populariti ayahnya dalam kalangan pengundi Telok Bahang memberi impak positif dalam pencalonan kali ini.

“Kalau tanya populariti ayah membantu atau tidak, bagi saya ia mempunyai dua reaksi iaitu ada kebaikan dan keburukan.

“Tapi kebaikan lebih kerana dalam tempoh minggu pertama kempen, saya mudah dikenali sebab orang tahu bagaimana gerak kerja ayah sebelum ini sekali gus memberi kelebihan buat saya.

“Kelemahan pula, ada juga yang cakap nepotisme tapi saya nak tegaskan di sini bahawa saya diangkat sebagai calon wakil rakyat Telok Bahang atas jawatan yang saya tandingi dalam UMNO kerana ia bukan lantikan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai penerima pengundi berkaitan kombinasi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, Ahmad Zaki Shah berkata, beliau mendapat reaksi yang positif bukan saja dalam kalangan orang Melayu malah Cina dan India juga.

“Gabungan BN-PH ini adalah contoh terbaik bagaimana Malaysia terbentuk pada masa dahulu iaitu dengan penyatuan semua pihak,” katanya.

DUN Telok Bahang menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan Ahmad Zaki Shah (BN) dan Muhamad Kasim (Perikatan Nasional). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast