TINGGAL kira-kira enam hari lagi pilihan raya negeri akan berlangsung di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang. Bahang kempen semakin hangat.
Pemimpin dan calon parti yang bertanding bekerja siang dan malam. Wajah kepenatan sudah terbayang di wajah masing-masing.
Paling menjadi tumpuan sudah tentu negeri Selangor, negeri terkaya dan termaju di Malaysia.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini melaporkan Selangor mengekalkan prestasinya sebagai penyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi 2022 iaitu 25.5 peratus dan sumbangan itu meningkat 0.7 berbanding 24.8 pada 2021.
Pencapaian tersebut adalah tertinggi dalam tempoh 14 tahun disumbang pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan masing-masing mencatat 32.2, 34.1 dan 26.5 peratus berbanding negeri lain.
Negeri itu juga dilaporkan merekodkan lebihan pendapatan sebanyak RM500 juta iaitu RM2.505 bilion pada tahun lalu dengan bilangan miskin tegar hanya 1.5 peratus iaitu ketiga terbawah selepas Putrajaya dan Kuala Lumpur.
Sudah tentu dengan kekayaan yang dimiliki negeri itu menjadi rebutan parti dan ahli politik yang bertanding. Ada yang berkata, menguasai Selangor sebenarnya menguasai Malaysia.
Pelopor bidang ekonomi Malaysia, Profesor Ulung Dr. Rajah Rasiah berkata, parti atau gabungan parti yang berjaya menawan Selangor dapat menguasai lebih kurang 40 peratus daripada KDNK Malaysia.
“Biarpun ia tidak memberi penguasaan penuh ekonomi negara, namun ia memberi pengaruh yang kuat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Jelas beliau, kekukuhan landasan ekonomi sesebuah negeri akan semestinya memberi gambaran baik terhadap parti politik dan sekali gus memberi dampak ke atas pimpinan.
Justeru tidak hairan kempen-kempen pilihan raya begitu rancak di negeri itu dengan ramai pemimpin utama daripada parti-parti yang bertanding memberi tumpuan sepenuhnya kepada Selangor.
Selangor dipegang oleh Pakatan Harapan (PH) bermula 2008 selepas berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) yang mentadbir negeri itu sejak negara bebas daripada penjajahan.
Sejak 15 tahun lalu negeri itu menjadi kubu kuat PH yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah.
BN tidak langsung berpeluang untuk kembali selepas rakyat Selangor berterusan menolak parti yang dianggotai oleh UMNO, MIC dan MCA tersebut dalam beberapa siri pilihan raya umum.
Untuk pertama kali dua parti yang bermusuh, PH dan BN berkerjasama sebagai satu pasukan dan mempertahankan negeri itu daripada dirampas Perikatan Nasional (PN).
Kajian yang dijalankan Endeavour-MGC yang dikeluarkan hari ini mendapati PH dan BN, serta calon Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari dilihat masih mengungguli pilihan pengundi di negeri itu.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis yang bersetuju dengan kajian itu bagaimanapun berkata, gelombang undi anak muda masih lagi menjadi persoalan.
“Di Selangor ini pertambahan pengundi sangat banyak. Negeri ini ada 3.7 juta pengundi dengan 52 peratus adalah pengundi (berusia) 18 sehingga 39. Kelompok ini besar.
“Kalau kita lihat dari sudut bendera kempen itu satu ukuran yang sukar untuk tentukan gelombang (anak muda) itu.
“Kalau kelompok ini keluar beramai-ramai mungkin PN boleh buat kejutan sebab ada 34 kerusi Melayu. Majoriti mudah 29. Kalau PN boleh dapat jumlah itu pun sudah cukup dan memadai,” katanya.
Untuk rekod, PN meletakkan calon di kesemua 56 kerusi, PH (44), BN (12), MUDA (14), PRM (6), PSM (4), PUR (1) dan Bebas (10).
Negeri itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu di 26 kerusi, tiga penjuru di 25 kerusi dan empat penjuru di 5 kerusi.
Sebanyak 53.9 peratus daripada 3,747,057 pengundi adalah Melayu, diikuti Cina (31.4), India (13.8) dan lain-lain (0.9).-MalaysiaGazette