KUALA LUMPUR – Lebih 20,000 penyokong Sabah dakan membanjiri Stadium Likas untuk menyaksikan perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Rabu ini selepas semua tiket dilaporkan sudah habis dijual.
Tiket dijual dengan harga bermula RM15 untuk dewasa bagi kawasan tempat duduk PT Zone, RM22 (Old Fortress) dan Grandstand yang berharga RM32.
Semua tiket ini dijual secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my dan laman Facebook Sabah mengesahkan tiada jualan tiket secara fizikal di kaunter stadium berkenaan.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu amat memerlukan kemenangan bagi merapatkan jurang dengan tiga pencabar terdekat Liga Super iaitu Selangor, Kedah dan Sri Pahang.
Keempat-empat pasukan ini sedang bersaing sengit bagi merebut tempat kedua Liga Super yang menawarkan tiket ke saingan Piala AFC musim depan ketika JDT gah di tangga teratas dengan 54 mata.
Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, Sabah berada di tangga kelima dengan 36 mata.
Mereka hanya dibezakan empat mata dengan Selangor (40 mata) serta satu mata dengan Kedah dan Sri Pahang (37 mata).
Bagaimanapun, perlawanan menentang JDT tidak begitu mudah kerana Harimau Selatan kini dalam prestasi terbaik apabila masih konsisten mencatat 18 kemenangan tanpa kalah. – MalaysiaGazette