SIK – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kini ada percubaan untuk mengubah pendirian para pengundi di Kedah.
Sanusi beralasan, terdapat gerakan di saat-saat akhir kempen akan digerakkan pihak lawan dalam PRN kali ini.
“Memang akan ada serangan, akan ada serangan untuk mengubah pendirian kita di minit-minit akhir kempen ini saya pada petang ini mengajak semua membulatkan tekad dan mengecamkan pendirian dan hati untuk istiqamah dengan PN dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) kali ini.
“Kekal bahagia bersama keluarga masing-masing dan tenangkan fikiran tidak payah serabut dengan benda bodoh yang akan dibawa kepada kita untuk memenangi hati kita tapi selepas lima tahun kita akan menderita.
“Walaupun mereka telah berjanji macam-macam selama 25 tahun, buka mulut sahaja bohong tapi mari sini nak mengelirukan orang ramai,” katanya ketika ucapan sebelum perlawanan bola sepak pilihan MB dan pilihan Felda di Felda Teloi Timur, Sik hari ini.
Muhammad Sanusi membuat kemunculan di DUN Jeneri perlawanan bola sepak pilihan MB dan pilihan Felda di Felda Teloi Timur, Sik.
Beliau turut menjaringkan satu buat pasukan pilihan MB menjadikan keputusan 1-1.
Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu berkata, kehadiran pemimpin Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) itu hanyalah untuk membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah yang terbaik.
“Tuan-tuan kita sudah kenal depa itu siapa dan tahu prestasi mereka lapan bulan satu apa pun tidak tercapai. 12 hari mai nak bohong kita, angkut segala bas dan jentera kerajaan mai nak menunjukkan kata mereka bagus padahal orang sudah kenal mereka.
“Kami kenal hampa, tidak payah nak kecoh bukan main. Kami pun reti dah. Kalau hampa cerdik jangan anggap orang bodoh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette