Datuk Baljit Singh

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Gerakan, Datuk Baljit Singh mengkritik cara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pelajar semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang semalam.

Baljit yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah berkata, jawapan Anwar itu  tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang perdana menteri dan menganggapnya seperti pembuli.

“Adakah perdana menteri tidak dapat membezakan antara musuh politik dan pelajar muda? Kerana itulah satu-satunya penjelasan tidak rasional kerana ia bercampur dengan agenda politik.

“Beliau perlu memahami perasaan rakyat Malaysia terutamanya pelajar yang sedang kecewa bukannya menjawab dalam keaadan emosi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media melaporkan semasa sesi dialog di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Kepala Batas semalam bersama Anwar, salah seorang pelajar bertanyakan sama ada kerajaan bercadang sistem kuota akan dimansuhkan dan digantikan dengan sistem meritokrasi.

Anwar didakwa telah memotong pertanyaan itu dan menjelaskan dia sudah menjawab soalan yang sama sebelum ini.

Anwar juga menegur pelajar itu sepatutnya mengelak daripada membincangkan sistem kuota dan sebaliknya perlu menunjukkan kes-kes khusus orang bukan Melayu yang dinafikan kemasukan matrikulasi bagi membolehkan kerajaan menangani keadaan itu.

Jelas Baljit, pelajar sekarang sudah matang dan mempunyai keinginan untuk memahami landskap politik Malaysia.

“Tingkah laku seperti itu amat memalukan. Mana perginya’ pendekar-pendekar’ DAP yang selama ini memperjuangkan hak sama rata di Malaysia.

“Mana Timbalan Menteri Pendidikan daripada DAP? Adakah hanya diam membisu bersembunyi di belakang Anwar setelah menjadi kerajaan” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast