Adam Loh (baju putih) merupakan Naib Ketua Cabang PKR Sungai Petani.

SUNGAI PETANI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Arang, Adam Loh mengakui beliau dan jentera parti kini berlumba dengan masa selepas tempoh berkempen sudah memasuki minggu kedua.

Naib Ketua Cabang PKR Sungai Petani itu memberitahu, pengundi perlu diberi keyakinan yang Pakatan Harapan (PH) adalah pilihan terbaik untuk warga Kedah dan mampu membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada rakyat.

“Saya percaya dengan mengundi PH, kita akan mewujudkan masa depan yang lebih baik bagi kita semua. Kami berusaha untuk menyampaikan pesan dan janji kami kepada masyarakat untuk memastikan rakyat Sungai Petani terus dibela dan dibantu.

“Dengan adanya sokongan dari rakyat, PH akan dapat terus berjuang untuk kebaikan bersama dan membawa perubahan yang positif untuk negara kita,” katanya.

Pada PRN 12 Ogos ini, Adam akan berdepan saingan tiga penjuru daripada calon Perikatan Nasional, Raymond Tai Kuang Tee dan calon Parti Rakyat Malaysia, Tan Kee Chye.

Pada Pilihan Raya Umum ke14 (PRU14), DUN Bakar Arang dimenang oleh Simon Ooi daripada PKR dengan majoriti 10,833 undi.

Adam mahu menyakinkan pengundi dengan konsep keserdehanaan dan kepelbagaian adalah batu asas kepada kemakmuran dan kemajuan negara.

Adam turut memberitahu, walaupun jentera kempennya terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan latar belakang namun mereka disatukan kerana berkongsi ideologi dan wawasan yang sama.

Ujar beliau, setiap pilihan raya bakal menentukan masa depan rakyat dan PKR sedaya upaya menyakinkan pengundi bahawa keserderhanaan dan kepelbagaian adalah batu asas kepada kemakmuran dan kemajuan negara.

“Selari dengan ideologi perjuangan Keadilan, saya sentiasa menjunjung nilai keserdehanana dan kepelbagaian demi matlamat untuk membina satu masyarakat yang makmur dan harmoni.

“Selain itu, saya juga mahu menjana idea yang bernas untuk membangunkan Sungai Petani dan negeri Kedah untuk membawa suara rakyat ke dalam Dewan Undangan Negeri dan memperjuangkan isu- isu yang dihadapi oleh rakyat.

“Sekiranya berpeluang untuk memegang mandat rakyat, saya akan memastikan dasar kerajaan negeri adalah selaras dengan keperluan rakyat dan memastikan kawasan Bakar Arang diberi sumber yang mencukupi untuk pembangunan masyarakat setempat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast