Shaik Hussein.

TASEK GELUGOR – Pendedahan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Datuk Ir. Shaik Hussein Mydin berhubung ada ahli Pas mendakwa makan di kenduri anjuran UMNO masuk neraka bukan fitnah atau sesuatu yang sengaja diadakan bagi tujuan politik.

Sebaliknya, beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Dua menegaskan, individu yang membuat dakwaan itu sendiri tampil ‘memerangkapkan’ dirinya dengan membuat laporan polis semalam.

“Dalam ucapan saya di Majlis Pelancaran Manifesto Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang tidak dedahkan siapa dan di mana lokasi kejadian itu hanya sekadar maklum apa yang dikhabarkan.

“Susulan itu ramai kecam kita sengaja ada-adakan ‘fitnah’ sedemikian di musim pilihan raya tapi kuasa Allah telah membuktikan individu bergelar ustaz itu sendiri tampil buat laporan serta mengaku ada mengeluarkan perkataan yang merujuk pada pendedahan saya.

“Malah saya sendiri dipanggil untuk siasatan kira-kira 1.30 awal pagi tadi selepas individu berkenaan membuat laporan pengakuan itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Shaik, bagaimanapun beliau memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan ke atas individu tersebut meskipun nama baiknya sebagai calon BN DUN Sungai Dua tercalar akibat insiden itu.

“Ikutkan saya boleh ambil tindakan saman kerana rosakkan nama saya tapi itu bukan pendekatan saya. Saya tidak mahu panjangkan lagi isu ini kerana perkara yang berlaku itu sudah dibuktikan sendiri oleh tuan punya badan dengan membuat laporan polis.

“Cuma saya nak bagi tau orang ramai yang pendedahan saya itu betul dan saya tidak ambil pendekatan kempen cemuh mana-mana parti termasuk pencabar saya, Muhammad Fauzi Yussof daripada Perikatan Nasional,” katanya.

Media tempatan pada 1 Ogos lalu melaporkan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang mendakwa seorang ustaz daripada Pas memberitahu pengundi agar tidak menyertai sebarang ‘kenduri’ anjuran UMNO atau berisiko masuk neraka.

Shaik Hussein Mydin mendakwa mendengar sendiri dakwaan itu semasa menghadiri kenduri yang dianjurkan oleh orang kampung baru-baru ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast