Dr. Afif bersama penduduk dalam program walkabout Medan Selera Jalan 51/217.

PETALING JAYA – Lima tekad Dr. Afif Bahardin untuk penduduk DUN Taman Medan jika diberi peluang sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Kata beliau, lima tekad itu ialah keselamatan, pendidikan, kesihatan, ekonomi dan dan kualiti hidup.

Mengenai keselamatan, katanya, ia menjadi keutamaannya dalam usaha kuat untuk berusaha melindungi anak warga daripada ancaman gejala sosial.

“Setiap kali saya meniti lorong-lorong di sini, mendengar cerita, menjiwai pengalaman dan juga aspirasi mereka, saya berasa semakin dekat dengan keluarga baru saya di sini,” katanya.

Menurutnya, selain keselamatan, beliau juga merancang akan memperkasakan pendidikan untuk mencapai potensi dengan mempersiapkan anak menerusi ilmu yang jitu di dada.

“Perancangan atau tekad seterusnya ialah meningkatkan penjagaan kesihatan kerana setiap daripada rakyat begitu berharga, di samping memperkasakan ekonomi tempatan.

“Menerusi perancangan ini, kita mahu memastikan kemakmuran komuniti bermula dengan sokongan dan dorongan yang kita berikan kepada peniaga serta ekonomi setempat,” katanya.

Jelas Dr. Afif lagi, antara yang penting sekali ialah tekad meningkatkan kualiti hidup dengan setiap daripada penduduk perlu menghargai setiap detik menggembirakan.

“Kita jadikan rumah kita ini tempat yang seronok untuk didiami dan membina kehidupan yang lebih membahagiakan.

“Saya juga turut membayangkan masa hadapan yang mengujakan untuk kita semua di Taman Medan ini.

“Bagaimanapun, untuk mencapai impian itu, saya perlukan anda dan berilah kemenangan kepada saya untuk capaikan tekad ini,” katanya. – MalaysiaGazette