Feri baharu yang memulakan operasinya secara rasmi hari ini di Pulau Pinang.

GEORGETOWN – Empat buah feri baharu memulakan operasi antara Pangkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth dan Raja Tun Uda, Pulau Pinang secara rasmi pada pagi hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkhidmatan feri adalah penting untuk penduduk Pulau Pinang yang berulang alik ke tempat kerja setiap hari.

“Kini empat buah feri berwajah baharu ini telah diberikan nama Teluk Bahang, Teluk Kampi,Teluk Duyung dan Teluk Kumbar menggantikan feri ikonik Pulau Pinang yang telah beroperasi sejak 1986 lagi sebelum ditamatkan perkhidmatannya.

“Feri baharu ini jauh lebih efisien dan selesa berbanding feri sebelum ini dan Penang Port akan menanggung sepenuhnya segala kos tiket feri baharu selama sebulan mulai hari ini sehingga 6 September 2023,” katanya sambil menambah harga tiket akan diumumkan dalam masa terdekat pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Kon Yeow, perkhidmatan feri itu akan beroperasi di Pangkalan Sultan Abdul Halim pada jam 6.30 pagi dan berakhir pada jam 9.30 malam manakala operasi di Pengkalan Raja Tun Uda pada jam 7 pagi hingga 10 malam.

Tambah beliau, seramai 1.2 juta yang mana majoritinya adalah warga kerja dijangka menggunakan perkhidmatan tersebut.

Chow Kon Yeow ketika menaiki feri baharu yang memulakan operasi percuma selama sebulan bermula hari ini di Pengkalan Sultan Abdul Halim, Butterworth semasa pelancarannya awal pagi tadi.

“SPPP (Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang) dan PPSB (Penang Port Sdn.Bhd.) sentiasa prihatin tentang kehendak keperluan rakyat Pulau Pinang yang menggunakan perkhidmatan feri setiap hari kini menyediakan jadual operasi dengan berjumlah 68 trip dua hala setiap hari iaitu dengan kekerapan perkhidmatan untuk setiap 20 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu bukan puncak.

“Jadual ini juga adalah digunapakai untuk hari bekerja daripada hujung minggu hingga cuti umum,” ujarnya.

Kon Yeow memberitahu, kerajaan negeri juga telah mengadakan sesi libat urus dengan SPPP dan PPSB agar mempunyai kesaling hubungan dengan jaringan pengangkutan lain seperti Rapid Penang dan perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Sementara itu, beliau berkata, kedua-dua terminal itu telah dinaik taraf bagi menyediakan perkhidmatan yang selesa kepada para penumbang feri dengan menyediakan ruang menunggu berhawa dingin, sambungan jalur lebar, kemudahan lif untuk orang kurang upaya (OKU), kedai makan, gerai serta kemudahan pembelian tiket secara elektronik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast