HULU SELANGOR – Mewujudkan kemudahan sukan antara tujuh tekad calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim untuk rakyat dan penduduk kawasan itu jika diberi mandat pada Sabtu ini.
Katanya, tekad atau iltizam itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebaik diumumkan menang pada malam itu.
Beliau yakin keputusan memihak kepadanya berdasarkan sambutan menggalakkan ditunjukkan masyarakat India dan Cina di DUN berkenaan sepanjang kempen.
“Ketua Komuniti India DUN Batang Kali, Rajan Kannan sendiri turun membantu saya dalam kempen. Dia menyeru masyarakat India agar memberikan sokongan padu kepada saya.
“Rajan sebagai Naib Ketua PKR Cabang Hulu Selangor yakin kerajaan perpaduan yang terbentuk antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membentuk sebuah kerajaan yang makmur dan stabil,” katanya.
Dalam pertandingan 12 Ogos ini, Mohd Isa melawan calon parti Bersatu, Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow menyatakan keyakinan Mohd Isa akan mendapat sokongan sepenuhnya dari rakyat.
Dengan pengalaman sebagai bekas ADUN Batang Kali pada 2008 hingga 2012, katanya, calon BN itu juga mampu menggalas khidmat sebagai wakil rakyat DUN Batang Kali untuk kali kedua. – MalaysiaGazette